Pelakon jelita Diana Danielle berkongsi rasa teruja apabila dapat menunaikan ibadah Umrah buat pertama kali dengan ditemani suami, Farid Kamil dan dua orang anak mereka iaitu Muhammad dan Nur Aurora.

Jelas Diana, 31, Farid merupakan insan yang banyak memberi galakan dan pendorong untuk dia menjejakkan kaki ke Makkah buat kali pertama.

“Sebenarnya Farid yang memberikan galakan kepada saya. Kata dia saya dan anak-anak sudah banyak pergi serata destinasi tetapi masih lagi belum ke sebuah tempat yang terbaik di dunia (Makkah).

“Sebelum kami berdua berikan pendedahan yang lebih lagi kepada anak-anak tentang dunia, apa kata kita bawa mereka bersama ke rumah Allah. Bagi mereka mengenali siapa diri dan tahu kita hidup untuk apa.

“Ini adalah pengalaman pertama buat saya dan anak-anak manakala kali kedua buat Farid. Alhamdulillah, kunjungan ini banyak mendidik hati untuk menjadi insan yang lebih baik dan menginsafi diri.

“Apatah lagi, anak-anak juga sudah besar dan memahami kunjungan mereka ke Tanah Suci. Rasanya ini masa yang sesuai. Untuk mereka raih pengalaman bermakna sambil kita sebagai penjaga ada kudrat yang masih kuat ini,” katanya.

A post shared by Diana Danielle (@dianadanielleb)

Berkongsi mengenai keterujaan dua cahaya matanya untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci pada usia yang masih muda, Diana berkata, dia sudah pun melakukan beberapa persiapan yang lebih awal sebelum ke sana termasuk menghadiri kelas Umrah.

“Muhammad sangat teruja. Mungkin ada kanak-kanak yang masih belum memahami keberadaan mereka di sana, tapi ia berbeza untuk anak sulung saya. Sebelum ini pun anak-anak banyak tonton video jemaah yang sedang tunaikan haji dan umrah.

“Pada sama sama sebelum berangkat, kita semua ada hadiri kelas umrah juga. Penting bagi mereka juga untuk jaga diri dan berdisiplin sepanjang berada di sana. Tak adalah nanti ia menyulitkan kita untuk buat ibadah,” tambahnya lagi.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.