Tentu ramai yang masih ingat pementasan teater P. Ramlee The Musical terbitan Enfiniti Productions yang dipentaskan di Istana Budaya pada tahun 2007.

Sudah semestinya ramai juga yang merindui karya hebat mengisahkan lagenda seniman agung negara itu.

Kini, anda berpeluang untuk menjadikan rumah anda sendiri sebagai panggung teater kerana P. Ramlee The Musical boleh didapati menerusi saluran online EnfinitiV di Vimeo.

Menurut penerbit dan pengasas Enfiniti Productions, Puan Seri Tiara Jacquelina, dia berpuas hati kerana mampu menghasilkan P. Ramlee The Musical sebagai satu tanda penghargaan terhadap seorang lagenda yang tak lapuk ditelan zaman.

"Mereka dari generasi saya, mahupun generasi selepas saya sudah tentu ramai yang merindui kehebatan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, tentang bagaimana P. Ramlee dianggap seorang ikon, kebanggaan negara dan seorang lagenda.

"Dari pihak rakan-rakan artis, pencipta dan penulis lagu di Malaysia, saya rasa terpanggil untuk menghasilkan karya ini sebagai satu tribute kepada seorang lelaki yang bijak dan berbakat besar.

"Saya gembira kerana berjaya menghasilkan P. Ramlee The Musical, dari situ, anak-anak saya dan generasi seterusnya akan tahu tentang sejarah yang telah terbentuk dalam industri hiburan dan budaya di negara kita," kata Tiara.



Tambah Tiara, P. Ramlee The Musical juga memaparkan semangat perpaduan kaum yang wajar dicontohi oleh masyarakat masa kini.

"Teater muzikal ini memaparkan semangat perpaduan antara kaum yang berlaku dalam kehidupan P. Ramlee, kita dapat lihat situasi industri hiburan ketika itu, mereka saling membantu antara satu sama lain, tidak mengira bangsa dan agama.

"Mari kita ambil contoh, The Shaw Brothers ketika itu telah banyak membantu P. Ramlee, sedangkan mereka berlainan bangsa, perkara sebeginilah yang harus dijadikan teladan dan diteruskan oleh generasi zaman sekarang," katanya lagi kepada Gempak.

Enfiniti Productions mengajak anda mengembara memori lama di Pulau Pinang, Singapura dan Kuala Lumpur pada era 50'an hingga 70'an, dari muzik hinggalah sisi peribadi P. Ramlee.

Mari imbas semula, P. Ramlee The Musical ditulis oleh Adlin Aman Ramlie dan diarahkan bersama oleh Zahim Albakri dan Adlin.

Teater muzikal ini menampilkan Sean Ghazi sebagai P. Ramlee, Liza Hanim sebagai Saloma, Melissa Saila sebagai Noorizan, Atilia Haron sebagai Junaidah dan ramai lagi.

Jangan lupa untuk menyaksikannya secara online menerusi vimeo.com/enfinitiv di rumah anda pada harga serendah RM25 sahaja.

P. Ramlee The Musical dan beberapa teater muzikal lain terbitan Enfiniti boleh didapati di saluran online berkenaan sehingga 30 Jun 2020.