Hiburan
Sufi Rashid Akui Cemburu Dengan Syamel
Pemenang program realiti Akademi Fantasia 2015 (AF2015), Sufi Rashid akui dirinya cemburu dengan naib juara AF 2015, Syamel.
“Saya akui saya cemburu dengan Syamel, tapi saya cemburu dalam cara yang baik. Semenjak kami sama-sama menyertai AF 2015 lagi, saya sudah tahu yang lagu Syamel, Hidup Dalam Mati akan menjadi sebuah lagu popular.
“Namun begitu, cemburu saya bukanlah berbentuk negatif. Sejujurnya, sebagai seorang rakan, saya bangga dengan kejayaan Syamel. Saya sendiri memandang kejayaan Syamel sebagai perangsang untuk saya berusaha dengan lebih gigih lagi dalam industri hiburan,” kata Sufi kepada Astro Gempak.
Tambah Syamel, walaupun mereka kerap dibandingkan, Syamel tidak terkesan dengan perkara tersebut dan menyokong penuh kerjaya seni Sufi.
“Apabila kami dibandingkan, sejujurnya kadang-kadang saya rasa sedikit rimas. Namun begitu, perkara tersebut tidak memberikan sebarang kesan kepada saya dan Sufi. Kami sama-sama menyokong aktiviti seni masing-masing.
“Kami percaya dengan ketentuan rezeki. Dahulunya, kami menyertai program realiti AF 2015 bersama-sama. Kini, kami pula mencari tapak untuk bertatih dalam industri muzik tempatan. Kami juga berbangga dengan kejayaan masing-masing,” kata Syamel pula.
Dalam perkembangan terbaru, Sufi kini muncul dengan single terbaru berjudul Aku Sanggup. Lagu tersebut dicipta oleh Edry Abdul Halim dan liriknya pula hasil kolaborasi Edry bersama Sufi.
Syamel pula masih lagi berjuang dalam pertandingan Duo Star bersama Ernie Zakri. Duo Star bersiaran setiap Ahad, jam 9.00 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Must-Watch Video