Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
HIBURAN

Sufian, Mas Idayu Sah Bercerai 4 Mac Lalu - “Saya Anggap Kami Tiada Jodoh”

Gempak 05/05/2025 | 12:02 MYT
Penerbit Eksekutif TV3, Muhamad Sufian Che Isa, 54, dan penyanyi dangdut, Mas Idayu, 53, dilaporkan sudah bercerai pada 4 Mac lalu.

Anggap tiada jodoh

Berita itu disahkan oleh Sufian dan menurutnya ikatan perkahwinan hampir tiga tahun dibina itu terlerai di Mahkamah Syariah Shah Alam yang disifatkannya sebagai tiada jodoh lagi antara mereka.

"Memang betullah gosip itu. Kami dah sah bercerai pada 4 Mac lalu di Mahkamah Syariah Shah Alam. Punca perceraian, saya anggap kami sudah tiada jodoh saja.

"Bagaimanapun, hubungan antara kami masih lagi baik sebagai sahabat. Tapi, jodoh kami nampaknya sampai di sini saja dan saya positif menerima takdir yang sudah ditetapkan ini.
"Pada usia saya yang sudah tua ini, nak bermasam muka atau bergaduh pun buat apa? Bagi saya, memang jodoh kami sampai di sini saja," katanya.

Berpisah cara baik

Menurut Sufian, dia juga sedar tiada pasangan yang berkahwin mahu bercerai, tetapi urusan jodoh ini adalah ketentuan Allah Yang Maha Esa dan sebagai hamba-Nya, kita harus terima dengan reda.

"Saya pun tetap bersedia untuk terus bekerjasama dengan dia dalam program dijalankan stesen TV. Kami pun berpisah secara baik.

"Setakat ini, hubungan antara kami pun masih tetap baik walaupun sekarang sudah bercerai. Saya akan terus beri sokongan pada kerjaya seninya, termasuk sebagai juri program," katanya.
Sufian dan Mas Idayu mendirikan rumah tangga pada September 2022 yang juga perkahwinan kali kedua masing-masing.
Mereka difahamkan sudah mengenali sejak program Mentor 3 pada 2008, namun semakin rapat pada 2021 yang membawa pada pernikahan.
Sebelum itu, Mas Idayu pernah berkahwin dengan pelakon, Aman Graseka pada 1997 dan bercerai pada 2006. Mereka juga dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Dayini Asyiqa, 27.
Sufian juga pernah berkahwin dengan personaliti TV, Intan Suraya dan turut berakhir dengan perceraian. Mereka juga memperoleh seorang cahaya mata.
Sumber: Harian Metro
#cerai #Mas Idayu #Bercerai