Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Sugu Kawal Pavithra?

ZULHILMI JALIL
28/07/2020 06:44 MYT
Sejak kontroversi yang terpalit pada YouTuber masakan popular, S. Pavithra yang dikatakan dikasari suaminya, M. Sugu hanya kerana tidak menyebut namanya dalam satu majlis pengiktirafan, penulis cuba menghubunginya berhari-hari.

Lebih 20 kali panggilan dibuat ke atas nombor telefon peribadinya selepas menerima perkhabaran mengenai suaminya ditahan reman.

Ada kalanya, telefon bimbitnya dimatikan. Sesekali, deringan dibiarkan berlalu tanpa dijawab.

Bahkan, kiriman mesej yang diberikan kepada Pavithra menerusi WhatsApp juga tidak dibalas. Ibu anak dua itu seolah-olah hanya mahu mendiamkan diri.

Dia hanya dilihat 'mampu' bersuara ketika ditemui media di perkarangan mahkamah sewaktu membayar wang ikat jamin suaminya.

Barangkali betul, pasangan itu mahu menjalani kehidupan seperti dahulu, tanpa menjadi tumpuan ramai.

BACA: Sugu Pavithra Mahu Kehidupan Biasa, Tak Mahu Populariti

Lebih-lebih lagi apabila Sugu mengakui dirinya bertindak memadam kesemua video masakan di saluran YouTube mereka, Sugu Pavithra baru-baru ini.

Ramai yang tertanya-tanya apa akan nasib kehidupan mereka selepas ini. Ini kerana, selama beberapa bulan ini, mereka bergantung kepada YouTube untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Apatah lagi, suaminya, Sugu sudah berhenti kerja sebagai buruh ladang untuk membantu isterinya menghasilkan video masakan.



Begitupun, selepas insiden video masakan 'hilang' beberapa hari sudah, penulis sengaja cuba menelefon Pavithra sekali lagi untuk mengetahui akan hal yang sudah menjadi 'periuk nasinya'.

Hanya sekadar mencuba nasib. Namun, tanpa disangka, selepas beberapa kali deringan, panggilan tersebut dijawab.

Cuma, suara dihujung talian bukan milik wanita tersebut. Sebaliknya, nombor yang sering dijawab Pavithra ketika penulis menemubualnya sebelum ini, kini dijawab suaminya.

Penulis bertanyakan tentang Pavithra, namun panggilan yang asalnya untuk mendengar 'suara' wanita berusia 28 tahun itu hanya diteruskan oleh Sugu.

Kata Sugu, dia mengakui mereka sekeluarga kini hanya menghabiskan masa bersama-sama keluarga sahaja. Menjalani rutin biasa seperti sebelum dikenali.

"Saya baru keluar lokap. Macam mana nak kerja? Sekarang ini, mana-mana pun tak ada ambil. Nak cari kerja pun susah sekarang ni," luah Sugu.


Bahkan, katanya, buat masa ini, dia tidak mempunyai sebarang perancangan lagi termasuklah membayangkan dirinya untuk kembali kepada kehidupan di estet.

"Sekarang ini saya hanya duduk rumah sahaja. Nak masuk semula ke estet pun, saya sudah keluar dari sana. Mana boleh.

"Tak apalah, nanti saya boleh cuba cari (wang). Buat apa-apa kerja sampingan untuk sara keluarga. Masih ada tangan, kaki untuk buat apa-apa kerja lain," katanya.

Bagaimanapun, perbualan itu hanya berlangsung singkat. Lebih kurang 2 minit sahaja sebelum Sugu enggan terus menjawab sebarang pertanyaan lanjut.

Penulis hanya sempat memintanya mengirimkan salam kepada Pavithra, sebelum Sugu menamatkan panggilan.

Cuma, sehingga hari ini, ada banyak yang bermain difikiran penulis mengenai pasangan suami isteri ini.

Apatah lagi, penulis merasakan pendirian Sugu yang sentiasa berubah-ubah.

Daripada enggan dikaitkan dengan YouTube lagi, dia kemudian memberi bayangan mahu membuat kemunculan semula kepada lebih 700,000 pengikutnya di YouTube semalam.

Namun, sehingga hari ini, saluran Sugu Pavithra itu masih kosong.

Barangkali dia sendiri dilema dengan situasi yang menghimpit dirinya ketika ini.

Antara populariti, wang, kedudukannya sebagai suami, kejayaan isteri dan nasib keluarganya membuatkan Sugu bertindak sedemikian.

Apapun, sama-sama kita doakan agar segala urusan mereka, baik Sugu mahupun Pavithra dipermudahkan.



#Youtuber #Sugu Pavithra #Kawal
;