Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan teater Ola Bola The Musical sebagai yang terbaik pernah dipentaskan di negara ini.

Menurut laporan Astro Awani, naskah arahan Puan Sri Tiara Jacquelina itu disifatkan Dr Mahathir sebagai lebih baik daripada muzikal Miss Saigon, yang dikenali ramai sebagai antara pementasan teater paling berjaya di Broadway.

"Skrin di kiri dan kanan pentas membantu beri kesan, nampak realistik. Saya juga suka babak penggunaan helikopter.

"Saya pernah menyaksikan pementasan Miss Saigon, tetapi ini lebih baik," katanya yang meluangkan masa menonton OlaBola The Musical di Istana Budaya, pada Rabu.

Ketibaan beliau ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, pada jam 8.30 malam, disambut sorakan dan tepukan gemuruh penonton yang memenuhi Panggung Sari.

Kedua-duanya turut meluangkan masa bermesra dengan para pelakon serta menyertai sesi bergambar selepas tamat pementasan.

Jadi untuk merasai pengalaman seperti berada di sebuah stadium, anda boleh datang untuk menyaksikan teater Ola Bola The Musical di Panggung Sari, Istana Budaya.

Ola Bola The Musical akan dipanggungkan sehingga 3 Mac ini dan tiket boleh didapati menerusi laman web Buyticket.Asia.

Sumber: Astro Awani