Laman Utama
“Suka Dapat Hiburkan Penonton” - Ahmad Yasin Bersyukur Terima Komen Positif Peminat Kampong Pisang
Francais Kampong Pisang yang mendapat sambutan ramai tampil dengan edisi Syawal iaitu Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa bermula 27 Mei lalu.
Selain beberapa watak yang tular seperti Barkoba, Yah Kuchei dan Pak Jabit, satu lagi karakter yang telah meraih perhatian ramai adalah lelaki buta yang dikenali sebagai Yasin.
Bagi Ahmad Yasin, 24, inilah pertama kali dia bergelar pelakon kerana sebelum ini lebih dikenali sebagai penyanyi.
“Saya merupakan seorang penyanyi dan sering menerima undangan membuat persembahan di Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Singapura dan Indonesia.
“Kawan saya yang memperkenal saya kepada abang Mamat. Pada awalnya abang Mamat jemput saya untuk membuat persembahan tribute Ahmad Jais dan A. Ramlie. Start daripada situlah berminat untuk ambil saya berlakon dalam Kampong Pisang Bersiri-Siri, 18 Puasa serta Kampong Pisang Musikal.
“Inilah kali pertama saya berlakon dan saya menerima watak seorang yang buta. Pada saya watak ni agak berat juga sebenarnya sebab kita yang normal, perlukan penjiwaan dan karakter yang kuat.
“Tambahan pula ini adalah drama komedi, jadi nak dapatkan impak komedi tu, saya suka dengan watak yang diberikan,” kata Ahmad Yasin ketika dihubungi Gempak.
Mula bertapak dalam industri seni pada tahun 2016, Ahmad Yasin yang menjalankan perniagaan barangan basah di Ipoh, Perak cukup terharu dengan sambutan dan maklum balas positif daripada penonton terhadap lakonannya.
“Alhamdulillah saya bersyukur dengan penerimaan semua terhadap watak yang saya bawakan. Saya rasa macam satu kejayaan bila dapat hiburkan penonton.
“Sebelum ni saya orang biasa, yang kenal saya pun mungkin belah-belah selatan saja tapi sejak saya muncul di kaca TV, saya terkejut bila dapat pertambahan pengikut di media sosial, bila saya keluar ada yang cam saya, nampaklah drama dan filem Mamat Khalid ni beri impak pada saya. Alhamdulillah saya sangat bersyukur,” jelasnya lagi.
Selain Ahmad Yasin, filem muzikal ini masih mengekalkan barisan pelakon utama Kampong Pisang seperti Kazar Saisi, Aziz M Osman, Bell Ngasri, Dewa Sapri, Mat London, Afea Deana, Joey Daud, Nazeera Sardi, Avaa Vanja dan Yoep Hitler.
Istimewanya lagi, edisi raya kali ini mengembalikan Datuk Awie sebagai teraju utama serta watak-watak baru yang digerakkan oleh penyanyi dan pelakon Kaka Azraff, Imuda serta penampilan istimewa oleh Siti Elizad Sharifuddin dan Raja Azmi.
Filem ini mengisahkan seluruh penduduk Kampong Pisang bersama-sama mengerjakan aktiviti masak-masak pada sehari sebelum raya.
Saksikan filem Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 27 Mei 2021.
Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang- ulang.