Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Sukan Asia Hangzhou: Trivia Aaron Chia - Soh Wooi Yik Yang Jadi Wakil Tunggal Badminton Ke Semi Final

Maliah Surip
06/10/2023 04:51 MYT
Pertarungan yang dramatik, sengit dan mendebarkan. Itulah yang boleh digambarkan saat menonton perlawanan badminton di peringkat suku akhir beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menentang beregu tuan rumah, Liu Yuchen-Ou Xuanyi, semalam.

Aaron Chia dan Wooi Yik berjaya menumpaskan perjuangan dan keinginan membara pemain nombor lapan terbaik dunia dengan kemenangan 21-18, 19-21, 21-18 di Gimnasium Binjiang di Hangzhou pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022.

Ia sekaligus menjadikan beregu lelaki negara ini menjadi wakil tunggal dari kem Badminton Malaysia merebut tiket ke semi final selepas rakan seperjuangan iaitu Lee Zii Jia (perseorangan), Pearly Tan - M. Thinaah (beregu campuran) dan Chen Tang Jie - Toh Ee Wei (beregu campuran) terkandas di pusingan suku akhir.

Kemenangan pasangan beregu negara yang kini duduk di ranking kelima dunia itu melanjutkan perjuangan mereka ke peringkat separuh akhir menentang pasukan India hari ini untuk meloloskan diri ke final.

Beregu India diwakili beregu nombor tiga dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Berikut merupakan sedikit fakta mengenai wakil tunggal dari kem Badminton Malaysia ini yang dipetik dari BWF dan Wikipedia.

Fakta Aaron Chia

Nama sebenar Aaron Chia adalah Aaron Chia Teng Fong. Beliau lahir di Batu Berendam, Melaka.

Aaron kini berusia 26 tahun, lahir pada 24 Februari 1997. Beliau memiliki ketinggian 1.69 meter.

Beliau sudah berkahwin dengan Mei Qi dan memiliki dua anak iaitu Alvee, 8, dan Elisa, 4.

Bermain menggunakan tangan kanan, Aaron bergabung dengan kem pasukan kebangsaan Malaysia sejak tahun 2015.

Mula menjadi regu Soh Wooi Yik sejak November 2015 selepas digandingkan dalam World Junior Championships 2016.

Antara kemenangan yang telah diraih Aaron dan Wooi Yik sekaligus mengharumkan nama Malaysia di mata dunia adalah pemenang pingat emas Sukan Asia Tenggara pada 2019.

Pemenang pingat gangsa dalam acara beregu lelaki dalam Sukan Olimpik Musim Panas 2020, dan pada 2022, memenangi pingat emas beregu lelaki dalam Kejohanan Dunia 2022.

Di atas sumbangan yang telah dicurahkan kepada negara, Aaron dianugerahi Bintang Cemerlang Melaka (BCM) (2021) dan Kesatria Mahkota Wilayah (KMW) (2022).

Fakta Soh Wooi Yik

Soh Wooi Yik lahir di Kuala Lumpur. Beliau merupakan anak kepada bekas pemain badminton negara, Soh Goon Chup.

Lahir pada 17 Feruari 1998, Wooi Yik kini berusia 25 tahun. Beliau mula aktif bermain badminton sejak usia 4 tahun dan terpilih mewakili Kuala Lumpur pada usia 7 tahun.

Pemain tangan kanan ini mempunyai ketinggian 1.82 meter.

Wooi Yik menimba pendidikan dan pengalaman bermain badminton apabila menjadi pelajar Bukit Jalil Sports School sewaktu berusia 13 tahun. Sejak itu kariernya sebagai pemain muda atau junior terus berkembang.

Sebelum beregu dengan Aaron Chia, Wooi Yik pernah bergabung dengan Ooi Zi Heng dan regu ini pernah membawa pulang emas di ASEAN School Games pada 2015.

Wooi Yik dan Aaron Chia menjadi regu sejak November 2015 dan pertandingan pertama yang mereka sertai adalah World Junior Championships 2016.

Atlet yang masih bujang ini merupakan penerima Kesatria Mahkota Wilayah (KMW) (2022).

#Viral #badminton #Trivia #Fakta #Aaron Chia #Soh Wooi Yik #Regu #Sukan Asia Hangzhou
;