Hiburan
Sukar Bernafas, Saya Seakan Nazak – Hafiz Hamidun
Penyanyi Hafiz Hamidun menceritakan detik cemas sewaktu menerima rawatan di hospital akibat penyakit jangkitan kuman pada paru-parunya baru-baru ini.
Menurut Hafiz , 32, dia mengalami pengalaman sukar untuk bernafas dua hari sebelum menjalani pembedahan kecil.
“Seingat saya jam tiga pagi secara tiba-tiba rasa tidak boleh bernafas secara normal dan rasa macam dah nazak. Mujur saya sempat panggil jururawat yang bertugas untuk tengok keadaan saya macam mana.
“Ruang untuk saya bernafas terlalu terhad sehingga buat saya terkejut. Selepas terima rawatan susulan jururawat minta saya banyak bersabar dan jangan terlalu cepat panik apabila sukar untuk bernafas. Waktu itu, saya fikir mati dah sebenarnya,” katanya kepada Astro Gempak.
Hafiz ditemui sewaktu majlis buka puasa bersama Sony Music, Celcom dan Arteffect International di Hotel Parkroyal, Kuala Lumpur.
Terdahulu Hafiz menerima rawatan susulan di sebuah hospital di Indonesia kerana mengalami demam yang teruk.
Jelas Hafiz, dia kini beransur pulih namun perlu berjumpa doktor semula untuk rawatan susulan.
“Bila ingat balik detik saya menjalani pembedahan kecil rasa sedih sikit la. Keadaan saya agak sebab kena ambil darah dan x-ray paru-paru setiap hari sewaktu berada di hospital.
“Saya juga tidak boleh batuk atau selsema selama dua minggu jika mahu cepat baik. Nasib saya tiada berpantang makan, cuma perlu bergantung dengan antibiotik setiap hari,” ujarnya.
Tambahnya lagi, ada hikmah yang disebalik penyakit yang dialaminya sebelum menjelang bulan Ramadan.
“Kesimpulannya dan rasa bersyukur nasib baik ada insuran nyawa, cepat terima rawatan susulan dan hikmahnya Allah SWT suruh saya berehat. Saya pernah pasang niat sebelum puasa nak relaks sikit. Mungkin saya terlalu sibuk bekerja.
“Pengajaran yang saya terima kita kena jaga kesihatan dan jika ada yang demam lebih daripada tiga hari buat rawatan susulan di hospital. Terutamanya kanak-kanak kerana keadaan sekeliling yang tidak begitu baik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hafiz muncul dengan single terbaru berjudul Marhaban sewaktu hari pertama sambutan bulan Ramadan.
“Lagu ini bukan untuk bulan Ramadan sahaja, Alhamdulillah muzik video baru sahaja siap. Saya baru nak mula promosikan lagu ini untuk persediaan album baru kelak,” ujarnya.