Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Sukar Percaya Lelaki, Ambil Masa Lama Nak Kenal” - Isyariana Tak Sanggup Berdepan Penceraian, Harap Bertemu Jodoh Yang Tepat

Mya Amri
17/02/2023 06:45 MYT
Pelakon, Isyariana akui sukar untuk mempercayai lelaki merupakan antara faktor dia masih belum mempunyai kekasih.

Menurut Isyariana, dia akan mengambil masa yang agak lama untuk mengenali seseorang sebelum berganjak ke fasa seterusnya.


“Saya masih belum berkahwin bukan disebabkan takut teraniaya atau sebagainya. Cuma, mungkin saya sudah selesa dengan keadaan seperti sekarang ini.

“Tapi, masalah sebenarnya adalah saya susah hendak mempercayai seseorang lelaki itu. Kadang-kadang saya terpaksa mengambil masa lama untuk mengenalinya.

“Sehingga membuatkan dia rasa bosan dan berfikir saya tiada usaha untuk ke fasa seterusnya. Jadi, akhirnya dia pun pergi,” katanya ketika ditemui Gempak.

Jelas Isyariana atau lebih mesra dengan panggilan Isya ini berkata keadaan ibunya yang bergelut dengan kepayahan hidup selepas bercerai merupakan antara faktor untuk dia lebih berhati-hati sebelum menjalin sesuatu hubungan.

“Saya berada dalam keluarga di mana ibu dan bapa bercerai, jadi saya nampak situasi sebenarnya. Mungkin disebabkan perkara itu, ia mempengaruhi kepercayaan saya terhadap lelaki.

“Saya bukanlah serik untuk ada hubungan istimewa dan saya tiada pengalaman dikecewakan. Cuma, saya yang kecewakan orang. Kawan boleh, tapi untuk menjadi pasangan hidup mungkin sukar buat masa ini,” jelasnya.

Isya berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama Isteri Halal bertempat di Z Botanica by Nicsmann di One Utama, Petaling Jaya pada Khamis.

Bagaimanapun kata Isya, dia sentiasa berdoa supaya dipertemukan dengan insan yang tepat kerana tidak sanggup berhadapan dengan perceraian.

“Saya percaya jodoh itu ada dan tidak menolaknya. Kalau memang Tuhan sudah tetapkan dia, mungkin hati saya akan senang.

“Saya memang berdoa supaya tidak dipertemukan dengan seseorang yang bukan untuk saya. Kalau boleh saya tak mahu berhadapan dengan perceraian tetapi perancangan Tuhan siapa yang tahu,” katanya.

Ditanya mengenai ciri-ciri lelaki idaman, Isyariana mahukan seorang yang pendiam dan bukan dalam kalangan selebriti.

“Saya mahu yang pendiam. Saya suka orang yang hanya bercakap perkara penting sahaja. Biar saya sahaja banyak bercakap.

“Selain itu, kalau boleh saya mahu elakkan individu yang bergelar selebriti,” katanya.

Drama Isteri Halal menyaksikan Isya membawakan watak sebagai Adellea iaitu teraju utama.

Selain Isyariana drama arahan Uchee Fukada serta terbitan Radius One itu turut menampilkan beberapa pelakon lain seperti Uqasha Senrose sebagai Eyra, Aidit Noh (Zayn) dan Nazim Othman (Daniel).

Isteri Halal menceritakan kisah hidup Adellea yang meninggalkan keluarganya untuk berkahwin dengan Zayn, seorang lelaki daripada keluarga miskin.

Perkahwinan mereka memisahkan Adellea daripada keluarganya, namun keuzuran ibu bapanya membawa Adellea pulang untuk menjaga mereka. Dalam masa sama, Zayn yang mula terabai tewas dengan godaan Eyra.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.
#Cinta #Penceraian #Hubungan #Isyariana #Isteri Halal #Tak Percaya Lelaki
;