Kisah animasi popular kanak-kanak, Pinocchio yang ditayangkan menerusi tayangan perdana Disney+ Hotstar Day, Disney Original turut dijayakan oleh bakat-bakat dari Malaysia.

Pemenang tempat ketiga program GegarVaganza musim ke-8 iaitu Suki Low, penyanyi Sabah, Liana Jacklon dan pelakon muda, Khaireel Akasya antara yang meminjamkan suara mereka dalam watak-watak siri Pinocchio versi Bahasa Melayu.

Peranan utama Pinocchio disuarakan oleh Khaireel manakala Liana mempamerkan bakat nyanyian dengan membawakan lagu-lagu Blue Fairy dan Suki meminjamkan suaranya untuk watak Fabiana dan Sabina.

Kisah zaman kanak-kanak klasik tentang boneka kayu yang berusaha keras menjadi seorang budak lelaki sejati dihidupkan dalam penceritaan semula menggunakan proses imej janaan komputer (CGI) serba baharu oleh pemenang Anugerah Akademi Robert Zemeckis.

Gempak turut berpeluang menemu bual tiga pelakon alih suara Pinocchio itu ketika sesi temu bual khas yang diadakan secara maya baru-baru ini.

Penglibatan Dalam Pinocchio Versi Bahasa Melayu

Gempak: Bolehkah anda memberitahu kami sedikit tentang watak yang anda lakonkan?

Liana: Blue Fairy yang kita tahu adalah pari-pari biru. Bagi saya, watak ini sangat iconic dan powerful. Dengan kuasa yang dia ada, dia beri anak kepada Geppetto seorang anak iaitu Pinocchio.

Khaireel: Semua orang tahu yang Pinocchio ini adalah budak kayu yang dicipta oleh Geppetto. Bila dapat tahu saya dapat watak ini, saya memang gembira dan seronok. Apatah lagi, saya anak melayu dapat bekerjasama dengan Disney.

Suki: Watak saya dalam filem ini sebagai Fabiana dan Sabina. Sebenarnya watak tambahan, tak ada dalam cerita asal sebab itu saya agak teruja juga. Bila saya dipanggil untuk uji bakat watak ini, saya macam kenapa tak pernah dengar nama watak ini.

Jadi, ia satu kejutan untuk saya memahami karekter itu dan tahu mengenai Fabiana yang merupakan karekter baharu.

Cabaran Ketika Rakaman Suara

Gempak: Apakah cabaran yang dihadapi semasa rakaman suara untuk Khaireel dan Suki? Bagi Liana, ada cabaran semasa merakam vokal The Blue Fairy?

Suki: Paling cabar bagi saya ialah kena sampaikan dialog. Bila menyanyi, saya selesa sebab benda yang biasa saya lakukan. Tapi bila dialog ini, agak mencabar sebab melibatkan emosi dan suara sahaja.

Kita kena buat penonton rasa apa yang kita rasa ketika sampaikan dialog itu. Kalau kita tak sampaikan dengan betul, bunyi dia akan jadi seperti kita membaca. Tak nak la, bila kita tengok cerita itu, dengar suara kita pelik.

Khaireel: Ini kali pertama saya lakonkan alih suara. Jadi, pengarah dubbing banyak membantu saya untuk menjiwai watak Pinocchio. Tapi saya seronok sepanjang rakaman suara dan tak ada pun rasa takut. Sebab bagi saya, kalau salah, buat saja semula.

Detik Terbaik Sepanjang Bekerja Dalam Pinocchio

Gempak: Bolehkah anda berkongsi dengan kami apakah detik terbaik anda semasa bekerja dalam Pinocchio?

Suki: Yang paling best, bagi saya bila kita mampu lakukan dalam bahasa kita sendiri. Saya rasa teruja bila tonton Pinocchio dalam versi bahasa Melayu… rasa lebih dekat.

Khaireel: Saya memang sangat gembira sepanjang bekerja dalam Pinocchio. Malah, ibu turut celebrate dengan beri reward KFC.

Liana: Saya pertama kali buat alih suara dan sebenarnya masa pergi uji bakat, saya ada dengar beberapa penyanyi yang sangat la bagus. Saya tak rasa yang saya akan berjaya. Bila dapat tahu saya berjaya, saya sangat teruja dan bersyukur. Sebab ia adalah Pinocchio dan saya akan menyanyi lagu-lagu Blue Fairy. Jadi, sepanjang bekerja dalam Pinocchio sangat bermakna buat saya.

Sementara itu, antara bakat lain yang turut meminjamkan suara mereka dalam siri animasi ini termasuklah Muhamad Mustaqim sebagai Jiminy Cricket, Hazwan Idris (“Despicable Me 3”, “Klaus”) sebagai “Honest” John, Wan Muhammad Tamlikha sebagai The Coachman, dan Nur Atiqah Zawani (“Detective Conan”, “Tangled) sebagai suara latar watak Blue Fairy.

Bagi penonton yang tidak sabar untuk menonton Disney Original dalam bahasa tempatan, langgan sekarang secara eksklusif di Disney+ Hotstar dan saksikan animasi Pinocchio terus dari rumah anda atau di mana-mana sahaja.

Untuk maklumat lanjut, ikuti semua platform media sosial Disney Original Hostar di Twitter (@DisneyPlusMY) , Instagram (@DisneyPlusHotStarMY) , Facebook (@DisneyPlusHotStarMY) dan TikTok (@DisneyPlusMY) rasmi mereka.