Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Sultan Selangor Berkenan Beli Lukisan 'Monyet, Babun, Orang Utan & Katak' Dalam Dewan Rakyat

Awani
12/04/2022 10:21 MYT
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hari ini berkenan membeli sebuah karya seni lukisan selepas ia menarik perhatian baginda.

Selangor Royal Office dalam hantaran di laman Instagram memaklumkan, Sultan Sharafuddin berhasrat menggantung lukisan tersebut di bilik bacaan peribadi baginda.

"Satu hari nanti, baginda berhasrat untuk melelong lukisan ini dan hasil lelongannya akan disumbangkan untuk tujuan kebajikan," demikian menurut hantaran tersebut hari ini.

A post shared by Selangor Royal Official (@selangorroyalofficial)


Berdasarkan beberapa keping gambar yang dimuat naik, karya seni yang dilihat mempunyai makna tersirat itu seolah-olah menggambarkan situasi di dalam Dewan Rakyat Malaysia.

Sultan Sharafuddin turut kelihatan merenung lakaran karya tersebut, yang antaranya memaparkan individu yang dipercayai memegang jawatan sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat

Selain itu, turut mencuri tumpuan pada lakaran seni itu ialah imej mirip orang hutan, monyet, babun serta katak yang berada di kedudukan kiri dan kanan Dewan Rakyat.

Binatang-binatang yang dizahirkan menunjukkan beberapa reaksi seperti ketawa, mengantuk serta 'kelesuan'.

Bagaimanapun, setakat ini tiada penjelasan tentang pelukisnya mahupun perincian maksud di sebalik penghasilan karya tersebut.


Sumber: Astro Awani
#Sultan Selangor #Dewan Rakyat #Lukisan monyet
;