Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Sultan Selangor Dukacita Masalah Gangguan Air, Bimbang Kes Covid 19 Kembali Naik

Maliah Surip
19/10/2020 22:50 MYT
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacitanya dengan keluhan dan nasib rakyat yang berhadapan masalah gangguan bekalan air ketika sedang bergelut dengan wabak COVID-19.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Muhamad Munir Bani dalam satu kenyataan berkata Sultan Sharafuddin pada 8 September lepas telah menghantar surat kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berhubung masalah gangguan bekalan air yang sering melanda Selangor.

"Dalam surat berkenaan baginda telah memberikan nasihat serta beberapa syor dan pandangan untuk mengatasi masalah bekalan air bersih tetapi nampaknya tidak memberi kesan kerana masalah sama terus berlaku dan berulang sehingga menyusahkan rakyat yang Sultan Sharafuddin kasihi," katanya.

Menurut Muhamad Munir, sejak 2009 Sultan Sharafuddin telah beberapa kali menulis surat kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor agar masalah air tidak dipolitikkan dan diatasi segera kerana ia adalah keperluan asas kehidupan rakyat.

Terdahulu, sejumlah 1,196,457 akaun pengguna Air Selangor membabitkan 1,292 kawasan di Lembah Klang sekali lagi mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual setelah empat Loji Rawatan Air Sungai Selangor dihenti tugas ekoran pencemaran sumber air mentah.

Dalam pada itu, Muhamad Munir berkata Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa bimbang baginda terhadap peningkatan kes positif COVID-19 di Selangor dan seluruh negara sejak kebelakangan ini.

"Oleh itu baginda menyeru agar rakyat terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tidak ingkar dengan arahan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Menurut Muhamad Munir, Sultan Selangor amat menghargai usaha doktor dan jururawat yang bersungguh-sungguh memberi rawatan kepada pesakit COVID-19.

"Oleh yang demikian janganlah membebankan petugas barisan hadapan kerana baginda mendapat tahu terdapat ramai rakyat yang masih tidak mematuhi arahan dan melanggar SOP yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata Sultan Sharafuddin turut menasihati rakyat untuk terus berada di rumah dan tidak keluar jika tiada keperluan mendesak selain sentiasa memakai pelitup muka apabila berada di tempat awam.

"Baginda turut meminta individu yang pernah ke lokasi berisiko atau kawasan dikategorikan sebagai zon merah hendaklah melaporkan segera kepada pusat kesihatan terdekat untuk melakukan saringan dan tidak menyembunyikan status kesihatan masing-masing," katanya.

Sumber: BERNAMA
Kredit Foto: BERNAMA
#Sultan Selangor #COVID 19 #Gangguan Air
;