Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Sultan Selangor Dukacita Sikap Individu Tidak Menjaga Tutur Kata Sehingga Menjejaskan Aqidah

Fiza Kamarudin
17/03/2021 12:27 MYT
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dengan sikap segelintir umat Islam yang tidak berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata sehingga boleh menjejaskan aqidah dan keislaman mereka.

Baginda menerusi sebuah kenyataan menegaskan apa-apa juga iktikad (pernyataan dalam hati) atau percakapan atau perbuatan oleh mana-mana orang Islam yang berhasrat untuk keluar dari agama Islam dikhuatiri boleh membawa kepada tergelincirnya aqidah dan menyebabkan terkeluarnya seseorang itu dari agama Islam.

“Asas kepada kepercayaan umat Islam adalah mengakui akan keesaan Allah S.W.T. dengan mengucap kalimah syahadah dan seorang Islam perlulah sentiasa berpegang kepada keyakinan bahawa hanya Allah S.W.T. yang berhak disembah dan nabi Muhammad S.A.W. sebagai pesuruh Allah S.W.T.

“Seseorang yang berpegang dengan Islam sebagai agamanya adalah berpegang secara mutlak terhadap prinsip tauhid dan aqidah sepanjang kehidupannya.

“Sehubungan dengan itu tindakan segelintir umat Islam khususnya di Selangor yang mengugut untuk keluar dari agama Islam apabila berhadapan dengan sesuatu masalah hanya menunjukkan rapuhnya keyakinan mereka terhadap agama Islam dan Allah S.W.T,” tegas baginda.

Baginda Sultan sangat berpegang kepada keyakinan bahawa Islam dan iman adalah satu anugerah dan nikmat dari Allah S.W.T. kepada umat Islam, maka hendaklah kita menjaganya dengan baik dan penuh kesabaran dalam apa juga situasi termasuk dalam keadaan selesa (aman) atau kepayahan.

Malah, betapa seriusnya kesalahan perbuatan murtad ini digambarkan di dalam bentuk hukuman mengikut hukum syara’ bagi seseorang yang murtad atau keluar dari agama Islam dan yang telah diberi peluang untuk bertaubat namun tidak mahu bertaubat adalah boleh dihukum mati menurut pendapat majoriti para ulamak termasuk mazhab imam Syafi’e.

Sehubungan itu Baginda menasihatkan umat Islam agar sentiasa berpegang teguh kepada aqidah Islam dan tidak mudah terpesong dari aqidah Islam sebenar.

Tindakan pihak berkuasa agama seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menguatkuasa undang-undang adalah suatu tindakan dan proses biasa berlandaskan peruntukan undang-undang.

Malah Baginda telah menitahkan agar semua tindakan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS hendaklah selaras dengan prinsip-prinsip yang mendukung keutamaan dakwah, mendidik, mencegah dan meningkatkan kefahaman Islam yang betul kepada masyarakat.

“Kita sebagai umat Islam dan rakyat di Negara ini khususnya di Selangor seharusnya akur kepada proses undang-undang dan mematuhi setiap prosidur yang telah digariskan di bawah undang-undang,” baginda bertitah.

Baginda turut menegaskan bahawa MAIS dan JAIS sentiasa terbuka untuk mendengar dan berbincang dengan umat Islam di negeri Selangor ini atas sebarang perkara mengenai hal ehwal Islam, sama ada yang bersifat umum atau peribadi.

Baginda juga menitahkan agar MAIS dan JAIS sentiasa memelihara dan mempertahankan Aqidah Aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sebarang unsur dan ideologi yang boleh merosakkannya.

A post shared by Selangor Royal Official (@selangorroyalofficial)

#Sultan Selangor #Dukacita #Isu Murtad #Sultan Sharafuddin Idris Shah