Buat pertama kalinya hasil kerja penulisan wartawan hiburan bakal diiktiraf menerusi Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia (AKIFMA) 2017.

Menerusi AKIFMA, wartawan hiburan tanah air akan diiktiraf pada peringkat nasional sebagai menghargai sumbangan mereka dalam memartabatkan industri seni tempatan.

AKIFMA dianjurkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan kerjasama Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan (WHAM) serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Majlis yang akan berlangsung pada 24 November ini turut diserikan dengan kehadiran Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Pengerusi FINAS, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, dalam kenyataannya berkata, majlis terbabit akan mempertemukan semula nama besar dalam dunia kewartawanan hiburan akhbar dan majalah, sejak era 1980-an sehinggalah mereka yang masih bertugas di media popular, hari ini.

"Sebanyak 12 kategori utama termasuk Anugerah Khas Tokoh Wartawan Hiburan akan diumumkan pada malam berkenaan, hasil penilaian barisan juri profesional.

"Penilaian dilakukan berdasarkan penulisan dan laporan wartawan hiburan berkaitan industri filem tempatan dari 1 Januari 2016 sehingga 31 Oktober 2017," katanya.

Majlis julung kali itu diadakan sebagai tanda penghargaan FINAS atas idea, usaha dan aspirasi wartawan sebagai jentera pembangunan industri seni.

"Impak positif kewartawanan yang kritis dan kreatif secara jangka panjang amat penting bagi membantu kerajaan menjana kepada pembinaan masyarakat berilmu dan cintakan industri filem itu sendiri," katanya.

AKIFMA 2017 bakal menampilkan primadona filem Melayu era 80-an dan 90-an, Fauziah Ahmad Daud, sebagai pengacara. Bintang Azura itu akan bergandingan buat kali pertama dengan artis komedi popular, Abam Bocey.

Sementara itu, artis terkenal seperti Datuk Rosyam Noor, Datuk Seri Eizlan Yusof, Datuk Seri Shah Rezza dan beberapa nama besar dalam bidang kewartawanan hiburan, antaranya Saodah Ismail, Sarimah Hussain serta Zubairi Zabidin diundang sebagai penyampai anugerah.

Setiap penerima anugerah akan membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai.


12 Kategori AKIFMA 2017

1. Anugerah Penulis Pojok Terbaik

2. Anugerah Wartawan Hiburan Muda

3. Anugerah Khas Juri 1

4. Anugerah Khas Juri 2

5. Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem

6. Anugerah Kolumnis Hiburan Terbaik

7. Anugerah Kewartawanan Filem Terbaik (Media Baharu)

8. Anugerah Kewartawanan Filem Terbaik (Televisyen)

9. Anugerah Kewartawanan Filem Terbaik (Media Cetak)

10. Anugerah Kewartawanan Cemerlang 1

11. Anugerah Kewartawanan Cemerlang 2

12. Anugerah Tokoh Wartawan Hiburan