Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Sumpah Demi Allah Saya Tak Tahu..." - Baby Shima Tak Sengaja Parodikan OKU, Beri Amaran Kepada Penyebar Video

Amri Hassan
29/03/2021 08:36 MYT
Penyanyi Baby Shima mengakui tidak menyedari individu yang diparodikan dalam video TikTok seperti yang tular di media sosial merupakan orang kurang upaya (OKU).

BACA: "Insensitive, Biadab & Bod*h" - Netizen Kecam Baby Shima Ejek OKU Dalam Video TikTok

Jelas Baby Shima, dia bagaimanapun telah memadamkan video berkenaan dan memohon maaf atas kesilapan yang dilakukannya secara tidak sengaja itu.

"Saya nampak video itu dari TikTok dan sumpah demi Allah, saya tidak tahu pun individu tersebut adalah OKU. Saya hanya fokus pada kaki dia sahaja dan terus buat video seperti itu.

"Sejujurnya, saya tak perasan langsung keadaan dirinya begitu sebab terlalu perhatikan kaki dia sahaja. Selepas dalam 30 minit saya kongsi video tersebut, saya terbaca komen netizen yang kecam saya.

"Barulah saya tahu yang individu tersebut OKU dan terus ambil langkah memadam video saya itu. Kalau betul saya ada niat nak menghina, lebih baik saya biarkan sahaja video tersebut.

"Saya minta maaf sangat kepada individu itu dan semua pihak yang terguris hati dengan video tersebut. Demi Allah, saya tak ada niat nak hina... buat apa la saya nak buat sesuatu yang mencalarkan nama sendiri," katanya.

Terdahulu, tular sepotong video Baby Shima meniru aksi tokoh OKU, Zhariff Affandi yang yang dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan dan menggunakan anggota kaki untuk melakukan tugas harian seperti yang ditontonnya di kaca televisyen.

Tindakan penyanyi yang melakar nama di Indonesia itu mengundang rasa kurang senang dalam kalangan netizen dan menyifatkan tindakan itu kurang sensitif.

Justeru, Baby Shima telah berbincang dengan pihak peguamnya dan membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan video itu tanpa mengetahui perkara sebenar.

"Sebenarnya, saya agak terkejut dan rasa pelik juga... video tersebut saya muat naik dan sudah padamkan pada empat hari lalu. Tapi tiba-tiba ada orang sebarkan semula video itu sejak malam tadi.

"Apa niat pihak tersebut kongsi video tersebut tanpa mengetahui perkara sebenar? Pihak yang sebarkan video itu sudah memfitnah dan merosakkan nama serta imej saya.

"Jadi, saya sudah berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu atau pihak yang menyebarkan fitnah sehingga merosakkan nama saya," ujarnya.

Untuk rekod, Zhariff pernah diangkat sebagai penerima Anugerah Belia Perdana 2011 dan merupakan pemilik syarikat The Zhariff Initiative Sdn. Bhd.

#Viral #Indonesia #Baby Shima #Video #TikTok #OKU
;