HIBURAN
Suntik Elemen Retro, Ada Vibes Sheila Majid… Ernie Zakri Tampil Dengan Single Nostalgia Ciptaan Allan Andersn - “Ia Sangat Istimewa”
Penyanyi bersuara lunak, Ernie Zakri tampil dengan single terbaharunya berjudul Nostalgia.
Nostalgia Beri Mesej Bahagia
Mengangkat tema kebahagiaan dalam cinta, single ciptaan sepenuhnya oleh Allan Andersn ini mengungkapkan mesej kebahagiaan yang berkekalan, menggambarkan rasa syukur terhadap kebersamaan.
“Lagu ini adalah mengenai kisah cinta yang bahagia, dan kita juga boleh dedikasikan lagu ini kepada mereka yang kita sayangi seperti ibu bapa, adik-beradik, kawan-kawan, dan peminat saya,” katanya.
Senang Bekerjasama Dengan Allan
Berkongsi lanjut, Ernie berkata, proses rakaman lagu Nostalgia adalah pengalaman yang menyeronokkan buat dirinya, di mana beliau bekerjasama dengan penerbit muzik terkenal itu.
Menurut Ernie, proses rakaman lagu Nostalgia yang bergenre Pop, Citypop itu berjalan lancar meskipun jadualnya padat.
"Allan sangat kreatif, dan kami bekerja bersama-sama menghasilkan pelbagai alunan vokal dan harmoni. Prosesnya mudah dan normal, walaupun agak sibuk, kami tetap selesaikan dengan cepat,” katanya.
Elemen Retro, Vintage Jadi Keunikan
Menurut pelantun lagu hits Masing Masing itu, apa yang membezakan lagu Nostalgia adalah bunyinya yang unik dengan sedikit sentuhan konsep retro.
Lagu ini menampilkan gaya yang mengingatkan kepada penyanyi Datuk Sheila Majid, dengan elemen moden dan sentuhan vintage.
Kelainan ini menjadikan lagu tersebut lebih istimewa dan pastinya disukai oleh peminat Ernie juga pencinta muzik tanah air.
“Lagu ini ada sentuhan retro, sedikit vintage. Ia berbeza daripada karya saya sebelum ini, dan itulah sebabnya ia sangat istimewa buat saya dan para peminat,” tambahnya.
Single ini turut mencerminkan arah baru dalam projek-projek akan datang Ernie, sekali gus memberikan lapisan segar kepada album Aura miliknya.
Walaupun Ernie mempunyai banyak projek menarik yang akan datang, beliau kini memberi tumpuan kepada promosi single terbaharunya, Nostalgia.
Lagu Nostalgia adalah lagu bergenre Pop, Citypop yang ditulis oleh Allan Andersn, dihasilkan untuk mempamerkan keupayaan vokal Ernie yang luar biasa.
Dengan susunan berinspirasikan retro dan persembahan hebat Ernie, lagu Nostalgia ini menggabungkan sentimen abadidengan kecanggihan moden.
Nostalgia kini boleh didengari di semua digital platform sepertiSpotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music. Muzik video juga boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Ernie Zakri.