Suntik Teknik Sulam Tekat Dalam Koleksi Cruise, Ini 5 Elemen Yang Kami Suka Tentang Neonate Nomad

Amri Hassan
September 5, 2019 08:39 MYT
Jenama fesyen streetwear tempatan Neonate kembali ke pentas peragaan Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW2019) dengan menghamparkan koleksi cruise.
Menamakan koleksi itu sebagai Nomad, Neonate menampilkan pelbagai pembaharuan dalam 25 persalinan tahun ini.
Gempak berkesempatan menyaksikan pertunjukan fesyen Neonate Nomad sempena KLFW2019 yang berlangsung minggu lalu.
Berikut lima elemen yang kami suka tentang koleksi cruise Neonate:
1. Inovasi cruise
Tidak tertakluk pada satu palet warna yang sinonim dengan koleksi cruise iaitu putih, Neonate bermain dengan medley warna hitam, biru, kuning, jingga, hijau dan merah.
Hal ini kerana, percutian boleh disifatkan berwarna-warni dan pengembaraan tidak hanya tertakluk pada kapal persiaran semata-mata tetapi juga menggunakan kereta api, pesawat dan memandu kenderaan persendirian.
2. 5 bulan baru siap
Kata Pengarah Neonate Clothing, Karl Shafek, koleksi ini mengambil masa selama lima bulan untuk disiapkan bermula daripada proses kaji selidik hingga produksi.
"Berbanding dengan dua koleksi terdahulu, idea untuk menghasilkan cruise collection ini baru difikirkan dan proses kajian itu mengambil masa yang lama bermula Disember tahun lalu.
"Kekangan masa juga menjadi cabaran utama untuk kami menyiapkan koleksi ini," katanya kepada Gempak.
3. Fabrik plastik
Neonate menghimpunkan material yang belum pernah digunakan dalam koleksi sebelum ini antaranya TPU, plastik, geta, lycra dan faux fur.
Pemilihan fabrik-fabrik ini bukan sahaja disebabkan materialnya yang sinonim dengan koleksi Cruise, malah dapat memudahkan si pemakai untuk membawa setiap helaian saat bepergiaan, terutama lokasi dengan empat musim.
"Fabrik yang digunakan mempunyai elemen pantulan semula dan menyuntik elemen moden dan segar.
"Malah, kebanyakan fabrik yang digunakan juga ringan untuk dibawa mengembara. Secara tidak langsung, pelanggan Neonate tidak perlu kusut untuk memikirkan cara untuk membawa helaian kami untuk bercuti," katanya.
4. Retro Funk 1980-an
Secara estetik, Nomad diungguli padanan nuanasa retro dan funk 80an dan 90an – sesuai dengan peragaan rekaan Neonate sejak dahulu.
Disesuaikan dengan gaya terkini, ekstetik kali ini dipadankan dengan beberapa aksesori seperti getah dan rantai plastik.
Elemen-elemen ini menjadikan Nomad tidak terlalu sarat dan tidak juga terlalu lompang.
5. Tekat atas denim
Nomad menyelitkan teknik sulaman yang popular dalam pembuatan fabrik mewah tradisional iaitu tekat.
"Selalunya tekat menjadi perhiasan untuk busana perkahwinan dan istana, tetapi Neonate mengambil inovasi untuk menggabungkan elemen itu dalam unsur streetwear.
"Kami tidak mahu dibayangi elemen tradisional dan cuba pembaharuan dengan meletakkan tekat pada denim, tetapi bahagian embuluh dalamnya dimoden dan disesuaikan agar praktikal untuk dipakai," kata Shafek lagi.
Neonate juga menggantikan benang emas dan perak yang sering digunakan untuk tekat dengan benang metalik merah yang dicetak pada fabrik denim.
#Karl Shafek #Neonate #KLFW 2019 #Nomad