Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Suntik Udara & Susu Berlebihan, Jururawat Didapati Bersalah Bunuh 7 Bayi Di Hospital

Awani
20/08/2023 15:37 MYT
Seorang jururawat iaitu Lucy Letby didapati bersalah membunuh tujuh bayi dalam unit neonatal ketika bekerja di Hospital Countess of Chester di barat laut England.

Susulan siasatan selama dua tahun, Polis Cheshire menahan jururawat berusia 33 tahun itu pada Julai 2018 di rumahnya.

Pada awalnya dia dibebaskan dengan ikat jamin namun Lucy ditangkap tiga kali lagi pada tahun-tahun berikutnya sebelum didakwa pada November 2020.

Siasatan bermula apabila terdapat peningkatan kejadian bayi hampir maut dan kematian bayi pramatang yang tidak dapat dijelaskan di hospital tempat wanita itu bekerja sebagai jururawat dari Jun 2015 hingga Jun 2016, lapor Agensi Anadolu.

Laporan polis menunjukkan Lucy menyuntik bayi dengan udara dan susu berlebihan selain meracuni mereka dengan insulin.

Selepas perbicaran yang bermula pada Oktober 2022, dia disabitkan bersalah membunuh tujuh bayi dan cuba membunuh enam bayi lain.

Hakim kes itu turut mengeluarkan sekatan pelaporan sehingga perbicaraan selesai.

Pegawai penyiasat kanan, Paul Hughes berkata pihak mereka terpaksa mengendalikan 17 penyiasatan berasingan.

"Ini adalah siasatan tidak seperti yang lain dalam skop, kerumitan dan magnitud. Kami terpaksa mengendalikannya sebagai 17 penyiasatan berasingan.

“Kami biasanya terbiasa mengendalikan satu penyiasatan pembunuhan atau percubaan pembunuhan pada satu masa, apalagi sesuatu yang sebesar ini,” jelasnya.

Sementara itu, sebagai pembunuh bersiri kanak-kanak paling prolifik di Britain, Lucy akan dijatuhi hukuman di mahkamah yang sama pada Isnin.

AWANI

#hospital #Bunuh #Jururawat #Bayi #Nurse #Bunuh Bayi
;