Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Suntik Vaksin Pada Penduduk Kampung Yang Terlantar, Netizen Puji Usaha DG Noor Hisham

Azwa Rahman
27/06/2021 08:42 MYT
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mencuri perhatian wargamaya apabila tampil ‘turun padang’ menjadi 'vaccinator’ bersama pasukan vaksinasi bergerak.

Menerusi laman sosial Facebook, beliau memuat naik foto bekerjasama dalam lawatan kerja bersama Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ke projek rintis program vaksinasi bergerak di sekitar Parit Sulong, Batu Pahat di Johor.

Tidak ketinggalan, beliau sempat menyuntik vaksin kepada beberapa individu termasuk pesakit yang terlantar di rumah.

“Sehari bersama pasukan bergerak kami memberikan khidmat vaksinasi ke pasakit yang sukar untuk keluar ataupun terlantar di rumah,” katanya dalam catatan dan perkongsian beberapa keping gambar lawatan itu, di Facebooknya.

Sementara itu di ruangan komen, ramai wargamaya memuji usaha Dr Noor Hisham yang turut serta masuk kampung menawarkan perkhidmatannya tanpa mengira penat dan lelah.

Malah, ada juga yang turut mengusik bertuahnya individu yang mendapat suntikan vaksin daripada tangan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia sendiri.

Terima kasih atas perkhidmatan Tan Sri. Saya tahu anda seorang yang sangat jujur ​​dan berdedikasi, tetapi jaga diri anda juga. Jangan terlalu banyak bekerja sendiri. Kekal selamat!” komen seorang wargamaya.

“Terbaik Tan Sri turun padang. Muga Tan Sri dan semua Frontliners sentiasa dlm lindungan Allah SWT dan sihat untuk terus beramal. Aamiin,” puji seorang wargamaya.

“Bestnya kalau dapat vaksin dato yang bagi. Malangnya giliran pun tak dapat date lagi. Sabar je la,” luah seorang wargamaya.

“Tan Sri DG sendiri bagi injection.. Good job TS DG.. Tak kira masa berkhidmat untuk negara,” kata seorang wargamaya.

“Ini baru pengarah...turun kampung, jarum sendiri,” tulis seorang wargamaya lagi.

Sehingga kini, perkongsian tersebut telah mendapat hampir 23,000 tanda suka daripada wargamaya.

Sekadar info, Projek rintis tersebut adalah program kerjasama pelbagai pihak antaranya Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), pusat pemberian vaksin (PPV) Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Persekutuan dan Jabatan Kesihatan Johor.

Projek yang bermula sejak 14 Jun itu, merupakan usaha institut pengajian tinggi tempatan untuk membantu kerajaan, dalam meningkatkan liputan vaksinasi COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
#COVID-19 #DG Noor Hisham #Batu #Pahat #Suktin vaksin
;