BERITA

Super Spontan: Serah Imuniti Kepada Amy Mastura Adalah Keputusan Kumpulan - Rahim Sepahtu

Kamaruddin Razal 28/09/2017 | 13:00 MYT
Pelawak Rahim Sepahtu menjelaskan tindakan penyerahan imuniti kepada Amy Mastura merupakan keputusan yang dibuat selepas berbincang dengan ahli pasukan Tenggiling Taiko yang lain.

Di minggu ketiga Super Spontan Superstar 2017 (SSS2017), Rahim yang mewakili kumpulan Tenggiling Taiko berjaya mendapat imuniti.

Dengan kuasa tersebut, Rahim tidak boleh disingkirkan dan harus menyelamatkan seorang peserta kumpulan lawan, King Musang daripada tersingkir.

Di akhir program, Amy, Atu Zero bersama Fikry merupakan peserta yang berada di tangga tercorot dan Rahim memilih menggunakan imuniti untuk menyelamatkan Amy.

“Keputusan untuk menyelamatkan Amy adalah keputusan bersama. Saya telah berbincang dengan ahli kumpulan Tenggiling Taiko.

“Kami sepakat mahu menyelamatkan Amy kerana dia mempunyai banyak potensi dan kebolehan untuk ditonjolkan dalam SSS2017.

“Amy juga merupakan seorang peserta yang sangat kelakar dan tidak boleh dijangka. Jika dia disingkirkan terlalu awal, pasti SSS2017 hilang serinya,” kata Rahim.

Rahim juga bersyukur kerana kumpulan Tenggiling Taiko semakin serasi dan mendapat rentak permainan.

“Kami semakin serasi sebagai satu kumpulan dan mendapat rentak pertandingan. Kami akan berusaha dengan lebih baik agar dapat menonjolkan permainan cemerlang setiap minggu,” katanya lagi.

Saksikan Super Spontan Superstar 2017 yang bersiaran secara langsung di Dewan Percubaan UPM, Serdang, bermula 8 September 2017, setiap Jumaat, jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Astro Warna HD (saluran 124).

Program ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Instagram: @amymasturalerr & @zonlawak
#Super Spontan Superstar 2017 #SSS2017