Hiburan
Supergirl Dedah Diri Pernah Jadi Mangsa Keganasan Domestik
Bintang drama aksi 'Supergirl' Melissa Benoist mendedahkan kisah kesengsaraan hidupnya yang pernah menjadi mangsa keganasan domestik, dalam satu video yang dimuat naik ke Instagram, lapor AWANI.
Pelakon siri televisyen itu mendakwa mula dipukul selepas lima bulan pertama berada dalam hubungan bersama pasangannya.
Dakwa Melissa, pasangannya bersifat manipulatif dan mudah cemburu sehingga sering mengawal tindakan dan keputusannya sepanjang menjalankan tugas sebagai pelakon.
Melissa mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan itu selepas pasangannya membaling telefon bimbit ke arah mukanya, sehingga mematah hidung dan mencederakan matanya.
Bintang itu berharap kisahnya dapat membantu orang lain daripada menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Pendedahan Melissa itu mendapat sokongan penuh suaminya kini, Chris Wood, yang juga pelakon yang sama-sama memainkan watak penting dalam drama adaptasi komik Supergirl. Setelah saling mengenali dan menemuni keserasian, mereka mendirikan rumah tangga pada 1 September 2019.
Sumber : Astro AWANI/Asyraf Roslan