Laman Utama
Surat Akhir Amira Othman – “Semua Orang Tahu Kita Akan Pergi Satu Hari Nanti…”
Penyanyi dan pelakon Amira Othman akui single terbaharu berjudul Surat Akhir sebenarnya mempunyai maksud tersirat.
Menurut Amira, lagu tersebut boleh diibaratkan sebagai wasiat terakhir yang ditinggalkan sebelum pergi buat selamanya.
“Memang ada maksud tersirat di sebalik bait-bait lagu ini, Surat Akhir merupakan wasiat terakhir sebelum kita semua pergi melangkah meninggalkan dunia yang fana ini.
“Mungkin untuk suami atau isteri, buat anak-anak, ibu bapa dan juga kekasih. Kiranya untuk orang yang tersayang kerana pasti semua orang tahu bahawa kita akan pergi pada satu hari nanti,” katanya.
Mengulas mengenai lagu berkenaan, Amira memberitahu Surat Akhir ditulis dan melodinya digubah khas oleh saudaranya sendiri iaitu Syafiq Khan.
“Idea single ini datangnya daripada saudara saya sendiri. Asalnya hanya suka-suka sahaja tetapi apabila saya dengar, terus jatuh cinta dengan lirik dan melodi yang dihasilkan.
“Genre yang saya bawakan kali ini berentak balada santai dan tidak terlalu berat. Umpama seseorang yang sedang menyampaikan warkah terakhir dalam nada yang begitu tenang dan syahdu, itu yang saya cuba tonjolkan dalam lagu ini.
“Proses rakaman juga hanya mengambil masa selama 3 jam sahaja dan dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan dengan mengikuti SOP yang ditetapkan,” jelasnya.
Surat Akhir dihasilkan oleh MFMF dan diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment.
Lagu ini juga menjadi runut bunyi drama yang di inspirasikan dari novel, Marry Me Senorita arahan Nur Sharif dan penerbit Micheal Ang.
Marry Me Senorita sudah pun mula ditayangkan bermula semalam 2(Februari 2021), setiap Isnin hingga Khamis, 10 malam di Astro Ria HD (saluran 104) dan Astro Ria (saluran 124).
Drama ini juga boleh boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platformOn Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Must-Watch Video