Laman Utama

"Surat Cinta Kepada Dunia Semakin Sembuh" - Sutra Foundation Pentaskan Tarian Odissi Terbesar, Rai Hubungan Diplomatik India-Malaysia

gempak
Amri Hassan
21/09/2022
12:17 MYT
Sponsor Banner
"Surat Cinta Kepada Dunia Semakin Sembuh" - Sutra Foundation Pentaskan Tarian Odissi Terbesar, Rai Hubungan Diplomatik India-Malaysia
Yayasan Sutra mengumumkan bahawa ia bakal mempersembahkan produksi tarian Odissi bertajuk ‘Jaya Ram’ bermula 21 September sehingga 25 September 2022 di Pentas 1, KLPAC.
Produksi Odissi yang tersebut bakal menampilkan genre tradisional dari segi muzik dan pergerakan tarian dalam penceritaan kisah Rama Natakam dan Ram Leela, justeru memperkayakan lagi repertoir Dewa Rama, protagonis dari hikayat Ramayana yang telah wujud sejak beribu tahun.
Boleh juga dikatakan bahawa Jaya Ram merupakan sambungan kepada produksi bertajuk Ganjam yang kali terakhir dipersembahkan pada tahun 2015, sebuah kisah cinta berkisar kepada daerah Ganjam di India yang kaya dengan tradisi dan budaya.
Jaya Ram merupakan produksi Odissi terbesar tahun ini anjuran Yayasan Sutra dan ia bakal dipersembahkan oleh lebih dari 20 orang penari dari Sutra Dance Theatre dan Sutra Outreach Programme.
Selain itu, para pemuzik yang akan mengiringi penari-penari ini juga merupakan mereka yang terbaik dalam bidang muzik klasikal India yang telah mengabdikan diri mereka kepada seni ini.
Guru Gajendra Kumar Panda, salah seorang penggiat seni tari paling prolifik di India dan juga kolaborator kepada Yayasan Sutra selama lebih empat dekad diberikan tanggungjawab untuk merekacipta konsep produksi Jaya Ram, bersama-sama dengan Datuk Ramli Ibrahim, pengasas Yayasan Sutra.
Berbagai aspek lain produksi ini seperti komposisi muzik, libretto dan rekaan kostum juga telah diserahkan kepada pakar-pakar di bidang masing-masing untuk mengukuhkan lagi kualiti produksi ini.
Menurut Datuk Ramli Ibrahim, kelahiran produksi ini sememangnya amat ditunggu-tunggu dan ianya lebih bermakna kerana pada tahun ini juga, negara Malaysia dan India menyambut ulang tahun perhubungan diplomatik kedua-dua negara ke-65.
"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Arts For All Seasons (ArtsFAS), sebuah inisiatif di bawah Yayasan Hasanah untuk memelihara dan meraikan budaya dan keseniaan tempatan justeru menggalakkan lagi penglibatan generasi muda di dalam industri seni visual dan persembahan di negara ini.
"Selepas ia dipersembahkan di Malaysia, kami bercadang membawa produksi ini ke India dan Singapura. Ianya merupakan surat cinta Sutra kepada dunia yang semakin sembuh, dan saya berharap para peminat seni di Malaysia dan rakyat negara ini secara umum dapat menyokong produksi ini yang bakal mencipta sejarah," katanya.
Jaya Ram akan dipersembahkan di Pentas 1 KLPAC pada Sept 21 (Malam Gala), sehingga September 25, 2022. Tiket-tiket berharga dari RM34 sehingga RM104, boleh dibeli secara dalam talian di https://www.cloudtix.co .
Persembahan selama 80 minit tersebut adalah sesuai untuk penonton berumur 5 tahun ke atas sahaja. Terdapat sesi rehat selama 15 minit di pertengahan persembahan.
Untuk sebarang pertanyaan, sila WhatsApp ke nombor +6018-227 7212 atau lawati www.facebook.com/sutrafoundation dan ikuti @sutradancetheatre di Instagram.
***
Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini
Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live