Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah berkenan membuat kejutan sambutan hari lahir Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali semalam.

Menerusi ciapan di Twitter @bernamadotcom, sambutan itu diadakan di Istana Negara pada istiadat persembahan darjah kebesaran Darjah Yang Maha Utama Darjah Kerabat Diraja Malaysia (D.K.M) dan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N).

Menurut laporan Astro Awani, sambutan itu diiringi dengan nyanyian lagu 'Happy Birthday' berserta kek dan pulut kuning yang dihias cantik.

Tun M menyambut hari lahirnya yang ke-94 pada Rabu, yang turut diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Manakala hari ini pula, (12 Julai) merupakan hari lahir Tun Siti Hasmah yang ke-93.

Tun M dilahirkan pada 10 Julai 1925 namun tarikh kelahiran rasminya direkodkan pada 20 Disember 1925 di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.

Beliau menjadi Perdana Menteri yang keempat Malaysia pada 16 Julai 1981, menyandang jawatan itu untuk tempoh yang paling lama dalam sejarah Malaysia dan Asia Tenggara, iaitu selama 22 tahun.

Dikenali sebagai Bapa Pemodenan di atas kejayaan beliau menukarkan Malaysia dari sebuah negara pertanian kepada negara perindustrian moden.

Selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003, Tun M muncul kembali di arena politik apabila menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menentang kerajaan Barisan Nasional.

Pada tahun 2018, dalam satu kejutan politik yang tidak disangka-sangka, Bersatu dan parti-parti bersekutunya iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP berjaya memenangi PRU14.

Untuk rekod, Gempak telah pun menghasilkan video remake khas lagu popular berjudul Standing In The Eyes of The World sebagai penghargaan buat Tun M dan Tun Dr Siti Hasmah.

Lagu berkenaan dinyanyikan oleh penyanyi asalnya, ratu rock negara, Ella bersama komposer, Datuk Wah Idris serta penyanyi cilik, Kashika, Umairah, El, Yoyo dan Adinda.

Jom tonton video terbabit di bawah:



Sumber: Astro Awani