Berlakon dengan hanya berpandukan kepada beberapa garis panduan dan cuba melakukannya dengan spontan bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Apatah lagi jika perlu membuat orang ketawa.

Itulah yang dirasakan oleh pelakon yang sedang meningkat naik, Alya Iman apabila dijemput menjadi pelakon jemputan dalam rancangan Sepahtu Reunion Live 2020 malam tadi.

"Alya memang tidak ada pengalaman langsung berlakon secara spontan. Ini kali pertama. Walaupun team Sepahtu memang hebat dan buat Alya rasa selesa, tapi rasa gugup tu tetap ada.



"Tambah lagi Alya jenis yang cepat terhibur. Kalau shooting dekat set bila ada babak kelakar mesti ada banyak take sebab Alya cepat ketawa. Bila buat lakonan secara spontan ni memang susah sebab Alya senang gelak," kata Alya kepada Gempak sebaik tamat siaran langsung Sepahtu Reunion Live 2020.

Menurut Alya, rancangan Sepahtu Reunion memberikan pengalaman dan peluang yang sangat besar kepada dirinya kerana rancangan itu sendiri mempunyai pengikut yang ramai, termasuklah dirinya.

"Ini adalah kali pertama untuk Alya dan ianya membuka ruang buat Alya mencuba kepelbagaian dalam bidang lakonan termasuklah lakonan secara spontan ini.



"Kalau diberi peluang lagi untuk menjadi artis jemputan Sepahtu, Alya akan ambil dan perbaiki untuk buat yang lebih baik kerana jemputan ini pun datang di saat-saat akhir. Jadi Alya tak siap sediakan diri Alya.

"Jadi kalau Sepahtu nak panggil lagi, Alya nak sangat kerana Alya seronok bekerja dengan mereka dan menimba pengalaman daripada mereka," kata Alya berulang kali.

Tambah Alya lagi, dia datang daripada tempat kerja dan terus berlatih bersama pasukan Sepahtu di lokasi sehingga siaran langsung Sepahtu Reunion Live 2020.

Jangan lupa untuk menonton Sepahtu Reunion Live 2020 pada setiap hari Khamis, jam 9:00 malam di saluran Astro Warna (107). Anda juga boleh strim On Demand menerusi aplikasi Astro GO, Astro PVR Box atau Ultra Box. Ketahui lebih lanjut di sini.