VIRAL
Suspek Cabul Kanak-Kanak Di Masjid Direman Tujuh Hari
Lelaki berusia 19 tahun yang ditahan berhubung kes cabul kanak-kanak di sebuah masjid di Batang Kali, Hulu Selangor direman tujuh hari.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu telah mengeluarkan reman terhadap suspek bermula Sabtu.
"Suspek direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
"Kita juga sedang menunggu laporan rasmi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk pengesahan berhubung status orang kurang upaya (OKU) suspek," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Sebelum itu, Polis Hulu Selangor menerima laporan pada jam 8.19 pagi pada Jumaat berhubung kejadian yang tular di media sosial itu, sebelum suspek ditahan pada hari yang sama di sekitar Batang Kali.
Ketika kejadian, mangsa sedang menunaikan solat di saf belakang ruang solat wanita di masjid berkenaan.
Dalam kejadian itu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang lelaki menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk seorang kanak-kanak yang sedang sujud dari arah belakang ketika sedang lain sedang menunaikan solat Subuh.
Berdasarkan rakaman itu, lelaki terbabit telah mengangkat mangsa dan membawanya ke ruangan lain sebelum dipercayai dicabul.
Mangsa dapat melepaskan diri selepas bergelut dengan suspek.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video