Susulan tular pendedahan seorang gadis dipukul dan didera bapa tiri di laman sosial sejak Isnin, pihak polis sudah mengambil tindakan dan kini kes tersebut masih dalam siasatan.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat remaja perempuan berusia 19 tahun itu, kejadian didakwa berlaku sekitar pukul 11 malam pada 17 Ogos lalu.

Suspek bertindak menampar, menendang dan memijak kepala ketika mangsa sedang bertengkar dengan ibunya sehingga menyebabkan kecederaan seperti bengkak dan lebam di beberapa bahagian badan.

Mangsa kemudian telah dibawa ke Hospital Parit Buntar.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, laporan diterima pada 18 Ogos lalu dan mangsa mendakwa kecederaannya yang dialaminya akibat dipukul oleh bapa tirinya.

“Selepas menerima laporan itu, suspek berusia 45 tahun itu ditahan ketika hadir ke balai polis bagi membantu siasatan.

“Kejadian didapati berpunca daripada masalah keluarga. Suspek kini dibebaskan dengan jaminan polis," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, mangsa menerusi laman Instagram miliknya mendakwa bapa tirinya telah mencekik serta menampar pipi sebelum ditolak dan kepala dihentak ke lantai.

Dakwa gadis itu lagi, rambutnya pernah ditarik, malah dia turut dilempang berkali-kali serta diterajang sehingga terhantuk ke pintu.

Menceritakan kejadian tersebut, dia turut mendakwa bapa tirinya pernah mengambil parang di dapur kerana ingin menetaknya.

Walau bagaimanapun, jirannya yang melihat kejadian terbabit membawa Dahlia lari masuk ke rumah.

“Dia tendang badan saya berulang kali. Dia pijak kepala saya banyak kali sambil hentak guna kaki dia. Mata bengkak lebam dan pecah darah sebab dia pijak guna tumit.

“Kepala saya bengkak. Doktor check dia terkejut kepala bengkak teruk. Belakang badan dari bahu sampai ke kaki bengkak. Rahang mulut pun bengkak. Kunyah, bersin pun sakit menguap tak boleh.

“Mata saya pecah darah tak nampak dengan jelas sampai sekarang. Doktor hospital terus hantar pergi Taiping untuk jumpa pakar mata. Doktor pakar kata eye movement tak okay,” katanya.

Menurutnya, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan akibat mendatangkan kecederaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.