Berita

Suspek Kes Bunuh Peniaga Wanita COD Sudah Ditahan, Polis Rampas Wang Tunai & Cincin

gempak
Awani
15/02/2025
06:20 MYT
Sponsor Banner
Suspek Kes Bunuh Peniaga Wanita COD Sudah Ditahan, Polis Rampas Wang Tunai & Cincin
Suspek pembunuhan peniaga wanita, Norshamira Zainal, 37, yang ditemui mati di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur pada Khamis lalu, telah ditangkap awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek berusia 53 tahun itu ditahan jam 5.30 pagi di sebuah rumah, kawasan perumahan Wakaf Tembesu, Gong Badak, Kuala Terengganu pada Sabtu.
Menurutnya, tangkapan dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pahang dan Terengganu. "Susulan penahanan suspek, polis menemui dan merampas sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan dokumen untuk membantu siasatan.
"Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini (Sabtu)," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, polis percaya berjaya menyelesaikan kes bunuh berkenaan dengan penangkapan suspek.
"Pihak polis mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan," katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita yang juga peniaga makanan ditemui mati disyaki dibunuh di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur pada Khamis.
Mayat mangsa berusia 37 tahun ditemui seorang lelaki sebelum penemuan itu dimaklumkan kepada pihak polis kira-kira jam 12.45 tengah hari.
Jenazah Norshamira dituntut keluarga kira-kira jam 2.30 petang sebelum dibawa ke Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota untuk dimandikan sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Felda Keratong 9, Rompin untuk dikebumikan.
Sumber: Awani
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024