Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Susulan Tarian Separuh Bogel, DBKL Ambil Tindakan Terhadap Premis

Izwan Isa
28/08/2023 00:50 MYT
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan penutupan serta-merta dan kompaun ke atas sebuah premis di Jalan Bukit Bintang, di Kuala Lumpur, ekoran video tarian separuh bogel di hadapan premis berkenaan yang tular di media sosial minggu lalu.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi DBKL, mereka memaklumkan, Jabatan Penguatkuasaan telah menjalankan satu tindakan khas di premis terbabit pada 23 Ogos dan mendapati premis berkenaan mempunyai lesen komposit kedai runcit (barangan kering saja) bagi menjalankan aktiviti pasar raya.

Bagaimanapun, premis terbabit dikendalikan oleh empat pekerja warga asing yang tidak mempunyai permit kerja yang sah, masing-masing dua warga Bangladesh dan Iran.

"Oleh itu, DBKL mengeluarkan satu notis kompaun kerana menggajikan pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah dan satu notis kompaun kerana menjalankan aktiviti selain yang dilesenkan.

"Premis itu juga diarahkan untuk ditutup serta-merta kerana dikendalikan oleh bukan warga negara," menurut hantaran berkenaan.

DBKL turut memaklumkan hasil maklumat pekerja premis itu menyatakan kejadian tarian separa bogel itu berlaku pada 5 Julai lalu bersempena dengan sambutan ulang tahun premis itu.

Terdahulu, netizen menzahirkan rasa gusar apabila sepotong video tarian wanita separa bogel viral di media sosial.

Ramai yang memberi bayangan tarian berkenaan dilakukan di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Sumber: Facebook DBKL, Bernama

BACA: Rakaman Aksi Penari Separuh Bogel Di Bukit Bintang Raih Kecaman Netizen​

#DBKL #Tarian separuh bogel
;