Hiburan
"Sweet, Merendah Diri Dan..." - Siti Nordiana Dedah Sikap Khai Bahar
Tak salah rasanya jika malam Anugerah MeleTOP ERA 2019 (AME 2019) yang berlangsung semalam merupakan malam buat Khai Bahar dan Siti Nordiana.
Bukan saja menyanyikan lagu duet bersama pada persembahan AME 2019, malah kedua-dua penyanyi ini juga diumumkan sebagai pemenang Top Top MeleTOP Lelaki & Wanita pada tahun ini.
Keserasian mereka ini dilihat begitu menjadi hingga ada dalam kalangan peminat mengimpikan perhubungan yang lebih serius buat kedua-dua penyanyi ini.
Menjelaskan situasi berkenaan, Siti Nordiana yang mesra disapa Nana berkata, hubungan mereka memang rapat sejak dulu lagi dan jika peminat mahukan lebih daripada itu, maka haruslah berdoa yang baik-baik.
"Setakat ini, kami kawan sahaja. Kalau orang nak lihat kami bersama, kena doakanlah. Mana tahu Tuhan makbulkan," katanya dalam nada berseloroh.
Ditanya sifat peribadi Khai yang membuatkannya dia senang, Nana mendedahkan tiga perkara yang menarik perhatiannya.
"Apa yang saya suka tentang Khai ini dia seorang yang sweet.
"Selain itu sifat Khai yang merendah diri dan manja juga menarik perhatian saya. Itu yang paling saya suka," katanya ketika ditemui di Anugerah MeleTOP di Axiata Arena, semalam.