Sweet Qismina Risau, Tak Mudah Bawa Watak Izara - “Dia Memang Ada Borderline Personality Disorder”
Pelakon, Sweet Qismina mengakui membawakan satu karakter antagonis yang penuh dengan warna gelapnya bukanlah sesuatu yang mudah.
Watak antagonis
Menerusi drama yang bertajuk ‘Dendam Seorang Madu’ sebuah drama di slot Tiara, yang membawa genre konflik kekeluargaan, Sweet dianugerahkan watak Izara yang merupakan seorang wanita bersisi antagonis.
Bagaimanapun kata Sweet, perkara itu bukanlah penghalang bagi dirinya untuk mewarnai kanvas eksplorasi karakter dalam katalognya walaupun dia tidak pernah membawakan watak sebegeni.
“Saya risau sangat dan takut tidak dapat bawa sebab pada saya watak ini kalau salah ‘portray’, akan nampak dia hanya menggedik, mengada dan over tanpa sebab dan saya tidak mahukan itu.
“Alhamdulillah, lepas banyak kajian dibuat dan saya cuba memahami Izara, saya dapat simpulkan yang dia memang ada Borderline Personality Disorder (BPD),” ujarnya.
Borderline Personality Disorder
“Kalau dilihat episod-episod akan datang, kita boleh nampak perangai serta pelbagai cara yang Izara akan lakukan untuk pisahkan Faris dan Rayhana.
“Makin lama semakin dia benci kepada Rayhana dan menuduh Rayhana menjadi punca kehancuran rumah tangganya. Dia akan jadi lebih trauma kerana takut kehilangan Faris,” katanya.
Drama terbitan MIG Production Sdn. Bhd. ini telah mendapat sentuhan daripada pengarah drama nombor 1 Malaysia, Riza Baharuddin yang berjaya mengangkat drama ‘Andai Tiada Dia’ sebagai drama nombor 1 dalam sejarah kandungan Melayu Astro (2024).
Barisan pelakon yang membintangi drama ini adalah Hannah Delisha (Puteri Rayhana), Redza Rosli (Faris Alfian), Sweet Qismina (Izara) dan Emelda Rosemila (Hanum).
Runut rasmi bagi OST drama ini berjudul ‘Tipu Helah’ dinyanyikan oleh Hannah Delisha turut mengiringi para penonton sepanjang drama ini bersiaran.
Saksikan ‘Dendam Seorang Madu’ sepanjang bulan Ramadan ini, setiap Isnin hingga Jumaat, 6 petang di saluran Astro Prima (saluran 105).
Sinopsis:
‘Dendam Seorang Madu’ mengisahkan tentang Putri Rayhana, seorang gadis hidup sebatang kara bersama neneknya yang garang dan ibunya yang sakit gila berusaha untuk mencari jalan untuk menyambung pelajaran bagi mengubah nasib keluarga mereka.
Namun dia terpaksa akur dengan kehendak neneknya yang ingin mengahwinkan dia dengan Faris Arfian, anak kepada sorang CEO syarikat besar demi menampung kos rawatan ibunya.
Faris Arfian pula terpaksa menurut kehendak ibunya Hanum yang mengatur perkahwinannya supaya dia dapat menyandang jawatan CEO.
Namun segalanya terbongkar selepas perkahwinan mereka, apabila Faris sebenarnya sudah bernikah secara rahsia dengan Izara, pembantu peribadinya dan meminta untuk Rayhana merahsiakan perkara tersebut dari ibunya.