Sweet...Rizman Ruzaini Tampilkan Isteri Masing-Masing Selaku Model Utama!

Asraf Aided
Mac 17, 2020 08:56 MYT
Pereka fesyen duo terkenal, Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil (Rizman Ruzaini) mengumumkan isteri mereka akan dijadikan model utama atau 'muse' bagi koleksi lebaran jenama itu.
Perkara itu diumumkan menerusi sebuah entri di akaun Instagram rasmi Rizman Ruzaini malam tadi.
"Tiada sesiapa yang lain layak menjadi 'muse' untuk koleksi lebaran kami tahun ini selain dari isteri kami.
"Mereka bukan selebriti, bukan juga figura terkenal tetapi mereka sebenarnya 'muse' terbesar kami, yang sentiasa memberi inspirasi dan bergelar ratu di hati kami," tulis mereka di ruangan kapsyen.
Meninjau ruangan komen, rata-rata pengikut pereka fesyen duo ini berasa teruja dan memuji kecantikan isteri Rizman dan Ruzaini.
Sebelum ini, koleksi lebaran Rizman Ruzaini pernah menampilkan selebriti popular sebagai 'muse' antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nasha Aziz, Nur Fazura, Erra Fazira dan ramai lagi.
Seperti diketahui ramai, Rizman telah mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan jelita, Nurida Suraya pada September tahun lalu dan kini sedang hamil anak pertama.
Manakala Ruzaini telah mendirikan rumah tangga bersama Hidayati Yahya atau lebih dikenali sebagai Deqda pada tahun 2016.
#Fesyen #Rizman Ruzaini #Muse