Buat pertama kalinya selepas 22 tahun menjadi artis rakaman, Sweetchild bakal mengadakan showcase pada 13 Mei depan.

Persembahan selama satu jam setengah itu akan diadakan di Hard Rock, Melaka.

Menurut vokalis kumpulan itu, Acong memberitahu showcase tersebut bertujuan untuk memperingati ulangtahun Sweetchild yang ke-22 selain pemberitahuan kepada umum bahawa mereka masih lagi bersama.

“Tidak terfikir pun untuk bersaing dengan mana-mana kumpulan, showcase ini umpama ‘comeback’ kami untuk sama-sama memeriahkan industri hiburan.

“Kami tidak mahu orang lupa siapa Sweetchild, jadi sebab itu kami mengadakan showcase istimewa sempena ulangtahun ke 22.

“Secara tidak langsung, kami juga ingin memberitahu Sweetchild tidak pernah berpecah dan kami masih lagi bersama seperti satu keluarga besar.

“Sebenarnya sudah lama buat perancangan tapi oleh sebab kekangan masa dan jadual saya juga agak padat, baru sekarang dapat peluang,” katanya kepada Astro Gempak.

Acong ditemui ketika sidang media Showcase Ulangtahun Sweetchild Ke-22 bertempat di restoran House, G-Tower, Ampang, sebentar tadi.

Dalam pada itu, penyanyi Syamel AF2015 dan Datuk Amir Pearl dijemput sebagai artis undangan untuk showcase tersebut.

Tiket-tiket boleh dibeli di Hard Rock Melaka atau hubungi talian 06-2925188 untuk tempahan tiket.

Tiket boleh didapati dengan harga RM55.

Teks Oleh: Mya Amri