Penyanyi yang sedang membina nama, Syabil akui tidak salah untuk seseorang berterus terang tentang rasa cinta kepada insan yang diminati.

Bagi Syabil, keberanian sebegitu tiada pada semua orang, tetapi jika tidak diluah, lebih perit rasanya.

Penceritaan sebegitulah disampaikan dalam single terbarunya berjudul L.O.V.E yang mengambil inspirasi daripada kebiasaan dalam kehidupan sebenar.

“Secara keseluruhan, lagu L.O.V.E adalah perjalanan kisah seorang lelaki yang cuba ingin menambat hati wanita disukainya. Dalam fikirannya cuma satu iaitu dia harus beranikan diri untuk meluahkannya.

“Perasaan itu berputik sewaktu dia terserempak pertama kali dengan wanita berkenaan. Dia terus jatuh cinta pandang pertama dan kemudian memutuskan untuk berterus-terang mengenai perasaannya kepada wanita itu,” katanya kepada Gempak.

Mengulas lanjut, Syabil menjelaskan lagu terbabit sebenarnya terinspirasi daripada lagu penyanyi terkenal Justin Bieber.

Menurutnya, lagu cinta yang sering ditampilkan Bieber cukup jujur sekali gus tercetus untuk mengambil pendekatan sama.

“Sebenarnya lagu ini diilhamkan daripada lagu Let Me Love You nyanyian Justin Bieber yang bagi saya sangat realistik. Pendekatannya dalam lagu terbabit sesuai dengan apa yang saya mahukan dalam lagu L.O.V.E juga.

“Demikian juga dengan melodinya yang bagi saya cukup bertepatan dengan mood lagu serta cerita pada setiap bait-bait liriknya. Terus-terang, saya memang sangat berpuas hati dengan hasil akhir lagu ini,” katanya.



Bercakap mengenai penerimaan pendengar terhadap L.O.V.E, Syabil yakin ia akan mendapat sambutan yang baik kerana muzik yang ditampilkan segar dan mengikut cita rasa masyarakat masa kini.

"Sejujurnya, saya sangat yakin lagu L.O.V.E bakal mendapat sambutan yang baik daripada pelbagai lapisan pendengar. Ini kerana, muzik lagu ini sangat segar selain mengikut cita rasa yang kita sukai pada masa kini,” katanya.

Syabil mula didedahkan dengan muzik seawal usia 9 tahun dan dia mengakui mendapat inspirasi daripada bapanya sendiri. Pada usia 14 tahun, Syabil mula aktif menyanyi di YouTube dan kerap masuk pertandingan menyanyi serta membuat persembahan.

Namanya tular disebabkan video-video nyanyian yang dikongsi di Instagram. Dia turut menganggotai kumpulan The Five Music yang pernah tampil dengan lagu berjudul Iman Mutiara 2020. Sebelum ini, Syabil pernah muncul dengan single berjudul Terguris.

L.O.V.E hasil tulisan dan ciptaan Mas Dewangga bersama Firdaus Rahmat boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.