Syafiq Kyle Berlatih Silat Dua Minggu Untuk Filem Siku 12, Ada 20 Penari Menora - "Saya Yakin Lepas Momentum Mat Kilau"

Amri Hassan
September 14, 2022 08:56 MYT

Pelakon utama filem Siku 12: Langkah Derhaka, Syafiq Kyle perlu menjalani latihan silat khusus selama dua minggu sebelum memulakan penggambaran.

Dedah penerbit eksekutif filem terbabit, Mohd Hafiz Mohd Nafiah, filem yang menelan kos sebanyak RM1.2 juta itu berdepan banyak cabaran termasuk merealisasikannya babak tinju di gelanggang yang besar.
"Kami menyediakan jurulatih profesional bagi memberi tunjuk ajar kepada pelakon ketika babak bertinju. Malah, pelakon utama, Syafiq Kyle perlu berlatih selama dua minggu sebelum memasuki lokasi penggambaran.
"Filem Siku 12 hanya menampilkan elemen kesan khas imej janaan komputer (CGI) sebanyak 10 peratus," katanya.

20 penari menora

Apa yang menarik, kata Mohd Hafiz, filem Siku 12 menampilkan seramai 20 penari menora dari Persatuan Manora Kedah dan Manora Kham Kampung Kalai.

"Kami turut menampilkan ratusan pelakon tambahan untuk menjadi penonton di luar gelanggang.
"Jumlah penonton yang ramai diperlukan untuk menonjolkan suasana sebenar ketika pertandingan diadakan membabitkan peninju," katanya.
Ditanya harapan terhadap filem Siku 12, kata Mohd Hafiz, pihaknya sudah berusaha memberikan terbaik pada filem dan hanya menyerahkan pada penilaian penonton.
"Saya yakin dengan momentum yang ada selepas kejayaan luar biasa filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, filem genre aksi juga akan mendapat tempat di hati penonton," katanya.

Seni persilatan Melayu & muay thai

Mengetengahkan kehebatan seni persilatan Melayu dan seni mempertahankan diri Muay Thai, filem Siku 12: Langkah Derhaka terbitan Power Team Entertainment Sdn Bhd juga menyelitkan konflik cinta dan persahabatan sebagai elemen dramatik untuk menarik penonton.

Filem bergenre aksi arahan Azhari Zain itu telah menjalani penggambaran di Kedah serta menggandingkan dua aktor popular, Syafiq Kyle dan Zahiril Adzim selaku teraju utama.
Ia dimantapkan dengan penampilan barisan pelakon seperti Moon, Lobak dan Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar serta dibantu oleh Pon Muay Thai, Anas Mentor, Shahmiey Odd, Pak Salleh, Chiang, Azman Ahmad dan Bai Chot.
Filem Siku 12: Langkah Derhaka akan mula ditayangkan di 66 pawagam seluruh Malaysia bermula 27 Oktober depan. Ia juga ditayangkan serentak di Singapura dan Brunei Darussalam.
Trailer rasmi filem boleh ditonton menerusi saluran YouTube/Power Team Entertainment sejak 6 September lalu.

#Viral #Filem #Zahiril Adzim #Syafiq Kyle #Penerbit #Mat Kilau #Kedah #Melayu #Silat #Menora #Siku 12