HIBURAN

Syafiq Kyle Julang Anugerah 'Rising Star' Festival Filem Asia Pasifik (APFF) Ke-62

Asyraf Roslan 12/08/2025 | 02:55 MYT
Pelakon, Syafiq Kyle melakar sejarah apabila namanya dipilih untuk menerima Anugerah FPA Asia Pacific Rising Star sempena Festival Filem Asia Pasifik (APFF) ke-62 yang bakal berlangsung dari 29 November hingga 6 Disember depan.

Menurut Setiausaha Agung Persekutuan Penerbit Filem di Asia Pasifik (FPA), Pansha pemilihan Syafiq adalah hasil penilaian sebulat suara jawatankuasa kecil penganjur berdasarkan prestasi cemerlangnya dalam industri perfileman tanah air.

"Anugerah ini diperkenalkan tahun ini bagi menaikkan lagi taraf APFF yang kini memasuki edisi ke-62.

"Kami sebulat suara memilih Syafiq bagi memberi peluang kepada pelakon muda pula. Kita tidak mahu setiap tahun hanya pelakon veteran diiktiraf,” katanya kepada media.

Pengumuman tersebut dibuat pada sidang media penganjuran APFF pada Selasa.

Pansha turut menyifatkan Syafiq atau nama sebenar Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 33 berpotensi untuk menembusi pasaran Asia.


"Syafiq adalah pelapis dunia perfileman yang paling menyerlah ketika ini. Siapa tahu pengiktirafan ini bakal membuka lebih banyak peluang untuknya menyerlah di pentas Asia.


"Kami juga berharap penghargaan ini menjadi pembakar semangat kepada pelakon muda lain," ujarnya.
Sementara itu, Syafiq menerusi kenyataan video menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada penganjur atas pengiktirafan berprestij itu.


"Saya sangat bersyukur dengan peluang mewakili Malaysia di pentas serantau ini. Tidak sabar untuk bersama anda semua pada malam anugerah yang bakal berlangsung Disember nanti," ungkapnya.


Edisi kali ini menyaksikan pengarah ikonik yang terkenal menerusi filem Crouching Tiger, Hidden Dragon, Peter Pau, dilantik sebagai ketua juri.


Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi acara kemuncak dengan 21 kategori dipertandingkan, manakala semua filem bertanding akan ditayangkan di GSC Cinemas selaku Rakan Pawagam Rasmi festival.


Sumber: Berita Harian

#Syafiq Kyle #Festival Filem Asia Pasifik (APFF) Ke-62