HIBURAN

Syahrini Dakwa Terima Anugerah UNESCO Di Filem Cannes, Tapi Rupanya…

Umirah Halim 25/05/2025 | 04:59 MYT

Penyanyi sensasi Indonesia, Syahrini, berdepan detik memalukan selepas Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menafikan sebarang penglibatan dalam penganugerahan yang diterimanya di Cannes, Perancis baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan rasmi, UNESCO menjelaskan bahawa mereka tidak pernah menganjurkan atau menyokongsebarang acara penganugerahan yang berlangsung bersempena Festival Filem Cannes tahun ini.

“UNESCO tidak terlibat dalam pemberian sebarang anugerah pada acara yang berlangsung di Cannes.

“Walaupun acara itu mungkin melibatkan ramai artis dari pelbagai negara, ia bukan pengiktirafan rasmi daripada UNESCO,” kata wakil pertubuhan berkenaan.

Tambah UNESCO lagi, mana-mana acara yang tidak dianjurkan atau mendapat pengesahan rasmi daripada mereka tidak boleh dianggap sebagai anugerah sah di bawah naungan organisasi tersebut.

Sebelum ini, Syahrini atau nama sebenarnya Rini Fatimah Zaelani, 44, berkongsi keterujaan menerima anugerah “Outstanding Achievement in Entertainment, Influence & Global Cultural Impact” menerusi satu majlis yang berlangsung di Carlton Hotel Cannes pada 14 Mei lalu.

Dalam hantaran di Instagram, pelantun lagu Sesuatu itu mendakwa anugerah berkenaan sebagai penghargaan rasmi daripada UNESCO, dan turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada organisasi tersebut.

“Saya datang ke Cannes untuk menerima penghargaan bergengsi & luar biasa dari UNESCO melalui platform 'Listen To Her Parole', tulisnya.

Syahrini turut memuat naik foto dirinya menggayakan busana mewah sambil memegang trofi anugerah di karpet merah Cannes sebagai bukti.

Acara berkenaan sebenarnya merupakan sebahagian daripada inisiatif majalah Discrte Magazine yang meraikan sumbangan wanita dalam pelbagai bidang menerusi rubrik khas.

#Syahrini #UNESCO #Nafi