Laman Utama
Syamel, Ernie Bakal Adakan Konsert Perdana 23 Oktober Depan
Pasangan selebriti, Syamel dan Ernie Zakri mengakui teruja dan dalam masa sama gementar menantikan tarikh berlangsungnya konsert perdana mereka, Aku Cinta yang bakal diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 23 Oktober depan.
Menurut Ernie, rasa teruja dan gementar datang silih berganti memandangkan konsert tersebut merupakan konsert pertama buat mereka.
“Selalunya, saya dan Syamel hanya melakukan persembahan biasa. Sama ada di pentas anugerah atau pun majlis-majlis hiburan. Satu atau dua lagu setiap kali persembahan.
“Tapi, untuk kali ini, kami bakal menyanyi lebih daripada satu lagu dan disaksikan oleh ramai penonton. Jadi sudah tentulah perasaan teruja itu bercampur baur dengan rasa gementar,” katanya kepada Gempak.
Syamel pula menjelaskan, konsert Akui Cinta itu juga disifatkan oleh mereka sebagai tanda penghargaan buat peminat yang selama ini sentiasa menyokong perjalanan karier mereka sejak awal kemunculan sebagai penyanyi.
“Konsert ini adalah apresiasi istimewa kami khas untuk peminat yang sentiasa memberi sokongan terhadap kami serta karya-karya kami.
“Insya-Allah, kami akan cuba yang terbaik dan berharap agar semua yang hadir nanti bakal terhibur dengan persembahan kami,” katanya.
Dalam pada itu, pasangan tersebut memberitahu yang mereka bakal menyanyikan sebanyak 23 buah lagu sepanjang konsert Aku Cinta anjuran Rocketfuel Entertainment itu.
Sementara itu, Aubrey Suwito dipilih menjadi pengarah muzik bagi persembahan berkenaan.
Terdapat lima kategori tiket bermula daripada RM500 (Diamond), RM400 (Platinum), RM300 (Gold), RM250 (Silver) dan RM200 (Bronze) untuk konsert Aku Cinta.
Pembeli tiket Diamond berpeluang bertemu dengan Syamel dan Ernie dalam sesi ramah mesra selain menerima cenderahati eksklusif.
Tiket-tiket boleh didapati di Ubertickets.my bermula 15 Ogos ini.