Laman Utama

Syamel Gembira Dapat Buat Kanak-Kanak Di Wad Pediatrik Tersenyum

gempak
Syafiqah Jalal
24/01/2017
10:04 MYT
Sponsor Banner
Syamel Gembira Dapat Buat Kanak-Kanak Di Wad Pediatrik Tersenyum
Penyanyi Syamel akui gembira dapat membuatkan kanak-kanak di wad pediatrik, Hospital Kuala Lumpur tersenyum.
Bagaimanapun Syamel berkata turut tersentuh apabila melihat kanak-kanak itu ketika melawat mereka menerusi program amal, Projek Ceria anjuran Astro Ceria pada Jumaat lalu.
"Saya amat gembira apabila kehadiran kami sedikit sebanyak dapat mengukirkan senyuman di bibir mereka.
"Kanak-kanak ni punya hati yang jujur, bawalah artis terkenal tanah air sekali pun bagi mereka sama sahaja. Mereka cuma mahu orang yang boleh buat mereka ketawa dan gembira.
"Terus-terang jauh dari sudut hati, saya tersentuh melihat keadaan mereka kerana kebanyakan menderita sakit yang kronik.
"Tak sangka mereka masih kecil tapi kuat kerana sudah melalui pelbagai pembedahan dan sakit yang orang dewasa mungkin tak mampu hadapinya," katanya kepada Astro Gempak.
Selain Syamel, bintang Akademi Fantasia lain yang turut hadir dalam Projek Ceria itu adalah Sufi AF2015 dan Amir AF2016
Kanak-kanak turut diceriakan dengan kehadiran maskot Didi & Friends.
Syamel memberitahu ini bukan pertama kali dia sertai program amal sebegitu malah dia bakal menyertai lebih banyak lagi aktiviti kebajikan tersebut.
"Saya selalu juga sertai program amal sebegini seperti sebelum ini saya ada melawat pesakit kanser.
"Bukan sahaja melawat malah saya sempat menghiburkan mereka dengan menyampaikan beberapa lagu.
"Bagi saya program amal ini penting dan perlu kerana sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesengsaraan yang mereka hadapi dan memberi sinar untuk mereka sembuh," katanya lagi.
Perkembangan lain, Syamel bakal muncul single baru berduet dengan Ernie Zakri tidak lama lagi.
Teks oleh Syafiqah Jalal
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live