Syamimia Dikecam Enggan Kongsi Kesedaran Isu Palestin Di Media Sosial
Asyikin Mayudin
17/10/2023 04:55 MYT
17/10/2023 04:55 MYT
Gara-gara memberi penjelasan mengenai tindakannya tidak berkongsi mengenai perkembangan negara Palestin yang kini sedang bergolak, pempengaruh media sosial Syamimia dikecam netizen.
Ia bermula apabila ramai netizen memohon Syamimia untuk menggunakan platfrom media sosialnya untuk menyebarkan kesedaran mengenai apa yang berlaku di Gaza.
Bagaimanapun Syamimia mengambil pendekatan untuk mendiamkan diri dan tidak menggunakan pengaruhnya berkongsi tentang isu ini di media sosial.
Menurut Syamimia, dia berhasrat untuk memberi sumbangan seperti pempengaruh yang mempunyai nama besar tetapi buat masa ini dia hanya mampu berdoa.
Tambahnya, dia kini lebih fokus kepada keperluan keluarga dan mahu membuat kebaikan dengan secara menyeluruh, bukannya dengan mengikut isu tertentu.
“Tidak berkongsi tidak bermaksud tidak mengambil tahu, tidak tahu, jahil atau tidak sayang. Kita semua ada rahsia, hanya tuhan saja yang tahu.
“Sama-samalah perbaiki diri kita, sokong mana yang benar dan sumbangkan doa. Jika ada rezeki lebih, salurkan sumbangan kepada tabung-tabung yang sahih,” katanya menerusi video yang dikongsikan di TikTok.
Video itu bagaimanapun dipadam selepas mendapat kritikan dan kecaman netizen yang tidak bersetuju dengan Syamimia sedangkan dia hanya perlu berkongsi kesedaran tentang isu itu di media sosial.
Syamimia menerusi siaran langsung pada malam Isnin memohon maaf secara terbuka atas penjelasan yang menyebabkan ramai rakyat Malaysia tergores hati.