Hiburan
"Syamsul Tak Halang, Tapi.." - Puteri Sarah Liyana Kembali Berlakon Selepas 6 Tahun
Pelakon Puteri Sarah Liyana kembali beraksi di kaca televisyen selepas enam tahun menyepikan diri.
Aktif semenjak hujung tahun lalu, Sarah tidak mendapat sebarang halangan dari suaminya, pengarah Syamsul Yusof.
"Bermula Oktober lalu, saya kembali mengacara untuk sebuah program. Selepas itu, saya mula berlakon sebuah telefilem berjudul Wasiat Untuk Halina yang bakal bersiaran di RTM.
"Selepas kali terakhir berlakon pada 2013, saya kembali kerana minat dan rindu. Suami langsung tidak menghalang, tapi dia meletakkan beberapa syarat.
"Sebelum menerima sebarang tawaran, saya tapis dahulu mengikut kesesuaian status saya sebagai isteri dan ibu. Kemudian, saya bertanyakan pendapat suami.
"Jika Syamsul okay, saya menerima tawaran terbabit. Tetapi, saya hanya akan berlakon telefilem sahaja kerana masanya agak pendek berbanding drama bersiri.
"Telefilem hanya memerlukan komitmen lebih kurang seminggu sahaja, manakala drama bersiri pula memerlukan saya untuk fokus dua atau tiga bulan di set penggambaran," kata ibu kepada Syaikhul Islam dan Sumaiyyah ini.
Tambah pelakon drama bersiri Renjis ini, dia memilih untuk berehat selepas berkahwin kerana mahu memberikan komitmen kepada keluarga.
"Saya sendiri yang mahu berehat seketika kerana mahu memberikan tumpuan kepada suami dan anak-anak.
"Alhamdulillah, kini saya kembali berlakon kerana ini memang minat saya semenjak dari dulu lagi. Saya sentiasa ingat batas sebagai isteri dan tidak melakonkan babak bersentuhan dengan pelakon lelaki," katanya lagi.
Sarah ditemui di majlis pelancaran Il’ Dolcé Face Serum keluaran jenama kosmetiknya, Shara Cosmetics & Skincare.
Diformulasi dari bahan alami, serum diyakini mempunyai khasiat yang berganda sesuai untuk proses pemuliharaan kulit wajah secara semula jadi.
"Idea untuk menghasilkan serum ini adalah atas rasa prihatin dengan wanita-wanita tempatan yang kebanyakan menghadapi masalah kulit wajah disebabkan cuaca dan faktor persekitaran.
"Ada yang bertanya, mengapa saya keluarkan serum, bukannya produk lain seperti krim pemutih dan sebagainya? Saya sendiri menguji keberkesanan dan ia membantu untuk memulihkan masalah kulit saya.
"Saya sendiri tak mahu menipu pengguna jika saya mengeluarkan produk pemutih. Saya memang sudah dilahirkan mempunyai kulit yang cerah, jadi tak perlu untuk mengeluarkan produk pemutih.
"Saya juga yakin, manfaat serum yang berasaskan timun ini adalah yang terbaik untuk merawat semua jenis kulit di samping harganya yang berpatutan,” terangnya.
Shara Cosmetics & Skincare sebelum ini turut menghasilkan rangkaian kosmetik seperti Lipmatte, All-in-One Blusher Stick, Magic Gloss, Mascara dan Make Up Remover.
Must-Watch Video