Pengarah Syamsul Yusof setuju membayar nafkah bulan sebanyak RM6,000 dan tahunan berjumlah RM23,000kepada dua anaknya serta nafkah edah buat bekas isterinya Puteri Sarah Liyana berjumlah RM15,000.

Nafkah itu telah dipersetujui pengarah filem Mat Kilau: Pahlawan Kebangkitan semalam ketika prosiding pengesahan perceraian pasangan berkenaan sehingga menjatukan talak satu.

Semasa prosiding, hakim Syarie Akamalluddin berkata atas persetujuan pihak-pihak, mahkamah merekodkan defendan (Syamsul) membayar nafkah bulanan RM6,000 kepada dua anak mereka.

“Mahkamah juga merekodkan defendan membayar nafkah tahunan kepada dua anak mereka antaranya insurans RM3,500 (setahun) dan percutian RM5,000 untuk setiap seorang anak. Selain itu, mahkamah merekodkan defendan membayar nafkah edah RM15,000 dalam tempoh edah kepada plaintif (Puteri Sarah)" katanya.

Semalam Syamsul, 39, melafazkan cerai talak satu pukul 12.25 tengah hari di hadapan Hakim Syarie, Akmalluddin di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Puteri Sarah mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Sebelum Syamsul melafazkan cerai, Peguam Syarie, Azmi Mohd. Rais yang mewakili Syamsul mencadangkan agar pasangan itu bersalaman bagi memohon maaf.

Kemudian, Hakim Syarie Akmallluddin mensabitkan berlaku perceraian talak satu dan memerintahkan Puteri Sarah, 38, menjalani edah selama tiga kali suci serta mendaftarkan perceraian mereka.

Untuk rekod Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.