Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Syarikat Pemasaran Tuntut Awang BPR Buat Permohonan Maaf Sebelum 1 Ogos, Dakwaan Ditipu Tak Benar!

Mya Amri
26/07/2022 08:50 MYT
Gitaris kumpulan BPR, Awang dituntut untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak Impact Music & Entertainment susulan dakwaannya yang berbaur fitnah sebelum ini.

Menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan, syarikat itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan pihak mereka turut menjelaskan situasi sebenar

“Merujuk kepada sidang video melalui sebuah rancangan Melodi di TV3 pada hari Ahad (17.07.2022), Impact Music & Entertainment menegaskan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Awang BPR telah menjurus kepada suatu kenyataan yang sama sekali tidak benar tanpa usul periksa.

“Impact Music & Entertainment menafikan sekeras-kerasnya bahawa kenyataan yang dibuat oleh Awang BPR dan kami meletakkan beban bukti yang kukuh ke atas Awang BPR untuk membuktikan setiap dakwaannya di Mahkamah.

“Kenyataan tersebut adalah satu tohmahan liar dan fitnah jahat yang bertujuan untuk memburukkan imej Impact Music & Entertainment sebagai salah sebuah syarikat pengiklanan dan pemasaran.

“Harga asal penjualan tiket bagi dua meja VIP ke Singapura bertujuan untuk mempromosikan “Showcase Awang BPR dan Rakan-Rakan & Makan Malam Amal” adalah berharga RM8,000 dan telah pun diserahkan kepada Awang BPR pada 2 Jun 2022.

“Pihak kami tidak pernah sama sekali menerima, mengambil atau menggunakan atau apa jua faedah dan hasil daripada penjualan tiket tersebut melainkan dari apa yang telah dipersetujui.

“Pihak kami juga ingin menegaskan bahawa syarikat Impact Music tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menggunakan sebarang invois syarikat bagi apa-apa tujuan sekalipun,” jelas kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan yang sama, pihak syarikat itu juga mencabar Awang untuk membawa kes seperti yang didakwa ke mahkamah.

“Awang BPR sebagai seorang yang muflis seharusnya berterima kasih kepada pihak yang membantu menaikkan namanya semula dan bukannya memburukkan dan menyebarkan fitnah kepada pihak lain.

“Kes ini sepatutnya boleh diselesaikan secara baik namun Awang BPR telah memilih untuk mensensasikannya maka pihak kami tidak mempunyai langkah lain melainkan menyerahkannya kepada pihak peguam dan undang-undang.

“Pihak kami juga ingin mencabar Awang BPR untuk memfailkan tindakan Mahkamah terhadap kami sekiranya segala dakwaannya itu benar.

“Sekiranya tiada tindakan undang-undang difailkan maka kami menuntut satu permohonan maaf secara terbuka dibuat pada atau sebelum 1hb Ogos 2022,” katanya.

Terdahulu, dalam temu bual bersama sebuah program TV sebelum ini, Awang mendakwa dirinya dianiaya oleh pihak Impact Music & Entertainment selepas syarikat tersebut dikatakan mengambil kesempatan atas jualan tiket Showcase Awang BPR dan Rakan-Rakan & Makan Malam Amal yang berlangsung pada 24 Jun lalu di Johor Bahru.

#Mahkamah #Awang BPR #Dakwaan Ditipu #Impact Music & Entertainment #Tuntutan Permohonan Maaf