Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Syarikat Saya Tak Sengkek - Penerbit Kecewa Dengan Tuduhan Zulin Aziz

Kamaruddin Razal 30/12/2016 | 07:00 MYT
Video klip berdurasi satu minit yang memaparkan pergaduhan di dalam pawagam antara beberapa individu yang menghina aktres Zulin Aziz dan peminatnya menjadi viral di laman sosial.
Zulin mendakwa dirinya menjadi mangsa keadaan selepas video tersebut viral. Penyampai radio itu turut memberi kenyataan kepada pihak media mengatakan dia tidak tahu mengenai penyebaran video tersebut.
Tambah Zulin, ada antara peminatnya mendakwa mereka diminta ‘bergaduh’ oleh individu yang tidak dikenali identitinya bagi mempromosikan filem terbaru lakonan Zulin yang berjudul Bopeng.
Penerbit filem tersebut, Datuk Ayu Puteh menyangkal kenyataan yang diberikan oleh Zulin.
“Sejujurnya, saya juga tak tahu apa-apa langsung. Saya sendiri pun sibuk menguruskan majlis pernikahan saya yang bakal berlangsung awal tahun hadapan. Selepas filem ditayangkan, saya serahkan kepada staf saya berkenaan dengan aktiviti promosi dan sebagainya.
“Membaca kenyataan Zulin membuatkan saya rasa kecewa dan terkilan. Saya tak perlu gimik murahan untuk melariskan filem saya. Saya merasakan yang promosi untuk menghebahkan filem ini sudah cukup kuat berdiri sendiri tanpa ada sebarang unsur murahan.
“Saya juga turut bertayakan perkara ini kepada staf yang menguruskan aktiviti promosi dan mereka sendiri pun tidak tahu mengenai perkara ini.
“Mengapa ada tuduhan sebegitu? Syarikat saya tidak ‘sengkek’ untuk melakukan perkara tersebut. Saya tak perlu publisiti murahan. Jika benar saya ingin publisiti, saya gunakan saluran yang betul.
“Filem ini turut dipromosikan secara besar-besaran menerusi stesen televisyen, akhbar, radio dan media sosial. Jika benar saya mahu mempromosikan dengan lebih meluas, lebih baik saya menambah iklan di mana-mana stesen televisyen atau akhbar, saya rasakan itu lebih baik berbanding gimik tersebut,” kata Ayu.
Tambah Ayu, Zulin tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu.
“Saya sayangkan dia sebagai heroin filem Bopeng dan tiada masalah dengannya. Zulin ada bertanyakan saya mengenai perkara ini dengan baik, tetapi kenyataan yang dia berikan kepada pihak media buat saya terkilan.
“Apabila timbul dakwaan sebegitu, sedikit sebanyak perkara tersebut terpalit kepada saya kerana saya merupakan penerbit filem Bopeng. Kalau Zulin rasa sensitif, saya juga turut rasa perkara yang sama. Jika ada perkara yang boleh menimbulkan isu, kita boleh bersemuka.
“Saya boleh sama-sama membantu Zulin untuk menyelesaikan masalah tersebut dan mencari dalang penyebar video viral itu. Sebagai seorang selebriti, Zulin tidak seharusnya melatah. Sebagai seorang pelakon utama filem ini, ramai orang disekeliling Zulin. Pastinya ada yang suka dan ada juga yang tidak sukakan kita,” kata Ayu lagi.
Dalam perkembangan lain, Ayu bakal mendirkan rumah tangga dengan artis naungan Pencil Pictures & Records, Aiman Ismail pada 7 Januari depan.
“Alhamdulillah, majlis pernikahan bakal dilakukan secara sederhana sahaja dan persiapan telah dibuat sebanyak 80 peratus. Apa yang penting, saya memohon doa semua pihak agar segalanya berjalan lancar,” katanya lagi.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
#Zulin Aziz
;