Terkini

Syarikat Tiba-Tiba ‘Gulung Tikar’, Macam Mana Dengan Tiket Pelanggan? Ini Janji MYAirline…

gempak
Izwan Isa
13/10/2023
02:50 MYT
Sponsor Banner
Syarikat Tiba-Tiba ‘Gulung Tikar’, Macam Mana Dengan Tiket Pelanggan? Ini Janji MYAirline…
Berita mengenai penggantungan operasi syarikat penerbangan tambang murah MYAirline Sdn. Bhd. (MYAirline) memberi kejutan dalam kalangan pengguna.
Tentulah, notis yang dikeluarkan pada hari operasi mereka digantung itu menyebabkan ramai dalam kalangan penumpang terpaksa berputih mata selepas membayar tiket penerbangan untuk tarikh yang akan datang.
Begitupun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, MyAirline memberi jaminan bahawa seramai 125,000 penumpang yang terjejas akan menerima bayaran balik secepat mungkin.
Menurutnya, Kementerian Pengakutan (MOT) akan memastikan hak pengguna (penumpang) dilindungi dan Mavcom akan memantau rapat situasi ini.
“Berdasarkan maklumat yang diterima daripada MYAirline, dianggarkan seramai 125,000 penumpang bakal terjejas akibat penggantungan operasi tersebut.
“Mengapa 125,000, sebab mereka (MYAirline) telah jual tiket sehingga bulan Mac tahun depan. Dari segi nilai, ia dianggarkan berjumlah lebih RM20 juta,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen.
Mengulas mengenai penggantungan operasi yang dibuat secara tiba-tiba, Anthony Loke berkata, pihaknya mahupun Mavcom hanya mengetahui perkara tersebut pada lewat semalam.
“Memang ‘we are caught by surprise’ (kami terkejut), dan kita hanya mengetahui penggantungan ini lewat malam semalam.
“(MYAirline) juga langsung tidak maklumkan secara rasmi kepada mavcom sehingga ditanya, baru mereka mengesahkan bahawa penggantungan akan dibuat pada pukul 6 pagi hari ini,” ujarnya.
sehubungan itu, kata Anthony Loke, satu jawatankuasa khas akan diwujudkan Mavcom selain berhubung dengan pihak Bank Negara (BNM) bagi mencari kaedah supaya penumpang yang terjejas menerima bayaran semula dengan kadar segera.
“Ini kerana kebanyakan pengguna menggunakan kad kredit untuk membeli tiket kapal terbang, jadi kita perlu kerjasama dengan BNM untuk melihat mekanisma bagi membuat bayaran semula dengan lebih cepat.
“Justeru, Mavcom akan terus memantau situasi ini secara berterusan untuk memastikan kewajipan (MYAirline) kepada penumpang dapat dipenuhi demi kepentingan awam,” jelasnya.
Tambahnya, berhubung Lesen perkhidmatan udara MYAirline, Mavcom akan mengadakan mesyuarat tergempar untuk menentukan status lesen syarikat terbabit.
Untuk rekod, MYAirline mengendalikan sebanyak lapan pesawat dengan 900 kakitangan yang menyediakan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) Terminal 2 ke lapan destinasi domestik dan satu destinasi antarabangsa iaitu Bangkok.
Sumber: Kosmo! Online
BACA: Kenapa Ada 'Ashtray' Di Pesawat Tapi Dilarang Merokok? Zarul Umbrella Dedah Sebabnya!​
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live