Laman Utama
Syawal Pertama Tak Ada Kompaun Ziarah Aidilfitri Dikeluarkan, Tetapi Hari Raya Kedua 10 Individu Termasuk Tuan Rumah Dikompaun RM2,000!
Selepas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar memuji pematuhan SOP Ziarah Aidilfitri pada Syawal pertama dan tiada kompaun dikeluarkan, lain pula ceritanya di hari raya kedua.
Di Gombak, seramai 10 individu termasuk pemilik rumah dikenakan kompaun RM2,000 selepas masing-masing didapati melakukan ziarah raya atau aktiviti berkunjung sempena Aidilfitri ke rumah kenalan mereka.
Kesalahan itu dikesan polis dalam Op Khas Pemantauan Ziarah Aidilfitri yang dilakukan di dua rumah di Kampung Kenanga dan Rawang Perdana, Rawang di sini antara jam 2.30 hingga 6 petang.
Advertisement
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pemeriksaan di sebuah rumah di Kampung Kenanga mendapati terdapat dua tetamu yang berkunjung di rumah berkenaan.
"Polis mengeluarkan tiga kompaun berjumlah RM2,000 setiap seorang kepada pemilik rumah dan dua tetamu itu.
"Tidak jauh dari lokasi pertama, polis mengesan sebuah lagi rumah di Rawang Perdana yang turut menerima kunjungan tetamu. Seramai tujuh tetamu dari pelbagai kawasan datang ke sini dan kita kompaun mereka.
"Kompaun hanya dikeluarkan kepada ketua keluarga walaupun terdapat lebih individu termasuk kanak-kanak di dalam kedua-dua rumah berkenaan," katanya.
Arifai berkata, dalam operasi itu ada tetamu yang memberikan alasan keliru dengan prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri kerana menyangka aktiviti ziarah dibenarkan seperti tahun lalu.
Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan dalam operasi itu mendapati tahap pematuhan secara keseluruhan baik kerana kebanyakan penduduk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri.
"Secara keseluruhan adalah baik, hampir tiga jam kita lakukan rondaan tiada rumah yang terima tetamu termasuk kita pantau di kawasan tanah perkuburan," katanya.
Tambahnya, operasi itu akan diteruskan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP sekaligus dapat mengawal penularan Covid-19.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai pelanggaran SOP Aidilfitri sama ada ziarah, jamuan raya atau ziarah tanah perkuburan boleh menghubungi bilik gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222.
Sementara itu semalam, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata Pematuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) khususnya kesalahan berkaitan larangan kunjung-mengunjung atau ziarah Aidilfitri berada di tahap memuaskan.
Katanya, tiada sebarang kompaun dikeluarkan berhubung kesalahan itu semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Khamis (hari raya pertama).
Beliau berkata yang ada hanyalah kompaun dikenakan ke atas kesalahan tidak memakai topeng muka selain tidak mengamalkan penjarakan fizikal.
Sumber: ASTRO AWANI & HARIAN METRO
Must-Watch Video