HIBURAN

Syukur Kembali Sihat Selepas Sakit, Pengasas Upin Ipin Terima Pingat Datuk Dari Melaka

Asyraf Roslan 24/08/2025 | 10:25 MYT

Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Datuk Burhanudin Md Radzi meluahkan rasa syukur selepas dikurniakan Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M) yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan ulang tahun kelahiran Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Burhanudin yang baru sahaja pulih daripada masalah kesihatan, menganggap pengiktirafan ini sebagai satu nikmat besar daripada Allah SWT.

“Saya ingin mengambil masa untuk menzahirkan rasa syukur kerana diberi kesempatan pulih daripada sakit dan dapat menghadiri majlis penganugerahan hari ini. Anugerah ini adalah satu penghormatan besar dan saya anggap ia sebagai tanda kasih sayang serta rahmat Allah kepada saya,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan buat isteri tercinta, Datin, anak-anak, keluarga, sahabat, serta seluruh warga kerja Les’ Copaque yang tidak putus memberikan sokongan dan doa sepanjang dirinya diuji dengan kesihatan.

Menurut Burhanudin, pengalaman melalui detik getir kesihatan telah membuka matanya tentang pentingnya menghargai nikmat tubuh badan.

“Saya benar-benar berterima kasih kepada Datin, anak-anak, sahabat handai, saudara mara, kakitangan dan adik-beradik atas doa serta ucapan buat kesembuhan saya. Tidak dilupakan para doktor dan jururawat di ICU KPJ Shah Alam yang bertungkus-lumus memastikan saya kembali sihat tepat pada waktunya.

“Setiap hela nafas adalah nikmat. Kesihatan ini amanah besar, dan saya berjanji akan menjaga tubuh badan dengan lebih baik serta menghargai kehidupan yang Allah berikan. Insya-Allah, dengan kesihatan ini saya mahu terus berbakti kepada agama, keluarga, masyarakat dan negara,” tambahnya lagi.

#Datuk #Burhanudin