Hiburan
“Syukur Tuhan Bagi Kesempatan Jaga Ayah Waktu Sakit” - Aizat Kongsi Kenangan Bersama Bapa
Penyanyi dan komposer, Aizat Amdan berkongsi kenangan terakhir bersama arwah bapanya, Datuk Amdan Mat Din dalam sebuah lagu berjudul Angin Lalu.
Bertemakan kehilangan, lagu ciptaannya sendiri dan Mel Ramlan ini turut diterjemahkan dalam sebuah muzik video sedih dalam versi hitam dan putih.
“Tahun ini merupakan tahun yang sukar buat saya. Saya kehilangan penyokong terbesar iaitu ayah, jadi saya bawa inspirasi bersama ayah ke depan.
“Saya mengaku, kurang luangkan masa bersama ayah. Tapi alhamdulillah, Tuhan berikan masa untuk saya jaga dia sewaktu dia terlantar akibat strok.
“Saya jaga ayah macam mana ayah jaga saya sewaktu kecil dulu, mandikan ayah dan basuhkan najis ayah," jelas Aizat ketika ditemui selepas pelancaran muzik video Angin Lalu.
Aizat turut berpesan supaya hargai masa yang ada untuk bersama insan tersayang supaya tidak ada rasa terkilan apabila mereka sudah tiada.
Berikan kelainan, Aizat bersama pihak Warner Music sengaja melancarkan lagu Angin Lalu pada bulan Ramadan yang turut disertakan dengan tayangan sebuah filem pendek sebagai gimik.
Dalam muzik video Angin Lalu ini juga, Aizat tampil membuat kemunculan.
Bapa Aizat meninggal dunia akibat angin ahmar pada 9 Januari lalu.