Penyanyi Syura Badron mengakui berita pemergian komposer terkenal Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah membuatkannya terduduk.

Menurut Syura, dia berasa sangat terkesan dengan kehilangan Pak Ngah kerana tahu tiada pengganti untuk insan seperti ini.

"Berita pemergian ini membuatkan saya terduduk ketika mendengarnya. Kita semua tahu Pak Ngah memang sakit namun ketika pemergiannya dia berada dalam keadaan baik cuma tiga hari sebelum itu dia kembali sakit.

"Saya sendiri sangat terkesan dengan apa yang berlaku kerana tahu Pak Ngah tiada gantinya selepas ini," katanya penyanyi lagu Nazam Berkasih ini.

Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron berkata, dia antara artis yang banyak menghabiskan masa bersama Pak Ngah.

"Saya antara artis yang banyak bersama Pak Ngah semasa dia masih ada.

"Kami juga sudah mempunyai perancangan seterusnya tetapi bila dia sudah tiada saya tidak tahu siapa yang akan meneruskan legasi ini," katanya kepada Gempak.

Pak Ngah yang popular dengan lagu Cindai, Dikir Puteri dan Samrah Mentari meninggal dunia petang semalam akibat kegagalan jantung di Batam, Indonesia.